USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PROGRAM PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT JANA MASYARAKAT BERILMU

https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2022/09/998699/program-pembelajaran-sepanjang-hayat-jana-masyarakat-berilmu

September 10, 2022 @ 3:32pm

Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sebenarnya, tiada tarikh luput untuk bergelar pelajar. Sekiranya anda tidak berupaya menyambung pengajian sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), peluang untuk melanjutkan pelajaran tetap ada kerana pembelajaran adalah proses sepanjang hayat.

Konsep pembelajaran sepanjang hayat ini perlu dihayati segenap masyarakat dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan membangun pada masa hadapan.

Ia juga mampu menjadikan anak muda lebih kompetitif dan berdaya saing yang tinggi dalam kerjaya termasuk menghadapi cabaran ekonomi gig, iaitu pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dipacu teknologi digital seperti yang popular sekarang.

Peluang pembelajaran sepanjang hayat sebenarnya terbuka luas untuk setiap orang dalam menambahkan ilmu di dada. Terdapat pelbagai bidang pengajian boleh dipelajari, selain kemahiran baharu.

Apatah lagi dengan konsep langit terbuka dan kemajuan teknologi semasa yang membolehkan ilmu dikuasai di hujung jari dan tidak terikat hanya di bilik darjah atau kuliah.

Ketika ini, tatkala semua IPT berusaha untuk kekal relevan, pelbagai kaedah penawaran pengajian dilakukan oleh universiti awam dan swasta. Hal ini turut dimeriahkan pihak lain yang turut menawarkan pelbagai kursus untuk disertai oleh orang awam berminat.

Selain itu, terdapat juga universiti awam, antaranya Universiti Sains Malaysia (USM) yang bekerjasama dengan pihak swasta menawarkan kursus bersifat menambah kemahiran baharu (mikrocredential) hingga peringkat ijazah sarjana muda khusus memenuhi keperluan pihak berkenaan.

Antaranya pengajian dalam bidang pengurusan organisasi dan pengkhususan minor dalam teknologi makanan untuk diikuti pekerja syarikat berkenaan bukan sahaja dalam negara, malah negara serantau.

Ini antara contoh bagaimana IPT memanfaatkan kepakaran yang dimiliki untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat secara kreatif dan inovatif. Ada juga yang bekerjasama dengan badan antarabangsa untuk menawarkan pengajian secara pesisir.

Kaedah pembelajaran lebih fleksibel

Selain itu pengajian jangka pendek pada peringkat sijil dan diploma juga banyak ditawarkan oleh pelbagai IPT dengan menyediakan bahan pembelajaran bersifat tempatan sesuai dengan keperluan pasaran.

Kaedah pembelajaran juga dibuat lebih fleksibel, selain secara bersemuka ada juga kelas yang dibuat dalam talian. Malah, tawaran pengajian juga dirancang khusus kepada kumpulan sasaran yang tertentu mengikut keperluan ditetapkan. Ini semua membolehkan kepakaran yang ada di universiti dikongsi secara lebih luas dengan masyarakat

Semua ini sebenarnya membantu masyarakat, terutama golongan muda untuk menambah ilmu pengetahuan.

Kemahiran dan ilmu baharu dapat memberi tambah nilai kepada individu, sekali gus berupaya bersaing dalam pasaran kerja.

Hal ini penting, terutama kepada mereka yang mungkin tercicir selepas menduduki peperiksaan utama arus perdana. Keciciran akibat pencapaian kurang baik atau apa juga sebab lain tidak seharusnya menjadi sebab untuk tidak menambahkan ilmu.

Sebenarnya, pengajian sepanjang hayat bukan lagi perkara eksklusif, tetapi kini bersifat inklusif. Ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja, di mana juga dan bila-bila masa. Peluang belajar sentiasa terbuka luas kepada semua.

Mohamad Abdullah,
Universiti Sains Malaysia
 
- Sumber daripada bharian.com.my
  • Created on .
  • Hits: 293

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024