USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: ‘INI MASA TEPAT’, PERSATUAN, PENGAMAL PERUBATAN ALU-ALUKAN KELONGGARAN PEMAKAIAN PELITUP MUKA

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/09/09/ini-masa-tepat-persatuan-pengamal-perubatan-alu-alukan-kelonggaran-pemakaian-pelitup-muka/

Chia Wan Rou dan Predeep Nambiar
September 9, 2022 9:00 AM
 
Sudah tiba masanya rakyat meneruskan kehidupan seperti biasa dan kembali kepada gaya hidup sebelum ini, kata Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Teo Chiang Kok.

PETALING JAYA: Rata-rata persatuan dan pengamal perubatan menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka di kebanyakan kawasan tertutup, yang berkuat kuasa serta-merta semalam.

Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), Teo Chiang Kok berkata, keputusan kerajaan melonggarkan peraturan pelitup muka itu tepat pada masanya serta sesuai dengan situasi semasa Covid-19.

“Pelitup muka hanya digunakan untuk suatu tujuan tertentu dan saya yakin bahawa pihak berkuasa telah mengambil kira segala faktor dari aspek penilaian keadaan semasa mahupun risiko kelonggaran berkenaan sebelum keputusan itu dibuat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat meneruskan kehidupan seperti biasa dan kembali kepada gaya hidup sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) Wong Teu Hoon turut bersetuju dengan kelonggaran pemakaian pelitup muka yang diumumkan pada Rabu itu.

“Buat masa ini, saya rasa keperluan untuk memakai pelitup muka sudah tidak begitu penting kerana orang ramai sudah mengetahui cara untuk melindungi diri sendiri.

“Biarpun begitu, rakyat yang mempunyai kesedaran serta tanggungjawab sosial masih akan memakai pelitup muka bagi mengelak dijangkiti wabak. Jadi, ini menjadi pilihan rakyat sekarang,” katanya.

Ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib juga mengalu-alukan pengumuman itu kerana menyifatkan keperluan untuk melindungi diri daripada dijangkiti sejak awal sehingga kini sebenarnya bukan pada kerajaan atau penguat kuasa, sebaliknya satu tanggungjawab sosial.

“Kita tidak memerlukan peraturan bagi mencegah daripada dijangkiti Covid-19. Kita hanya perlu lihat kepada kes-kes ‘long Covid’ bagi menyedarkan diri kepada keperluan mengambil langkah pencegahan dan berjaga-jaga,” katanya, dengan menambah pengumuman dibuat berdasarkan pengetahuan dan pemahaman mengenai Covid-19, keberkesanan vaksin digunakan, serta tahap perlindungan komuniti.

Sementara itu, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) Amir Yunus berkata, orang ramai tidak seharusnya merasa tertekan untuk kekal memakai pelitup muka di kawasan tertutup, dalam pada beliau sendiri menyambut baik kelonggaran peraturan itu. Katanya, keputusan kerajaan itu mungkin berdasarkan kajian sains memandangkan kes varian membimbangkan (VOC) telah berkurangan.

“Melihat kepada jumlah kes Covid-19, saya rasa kebanyakan kita pernah dijangkiti wabak ini pada suatu ketika. Saya harap itu andaian yang betul,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan kawasan tertutup berkuat kuasa serta-merta, namun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di hospital, pengangkutan awam dan rumah penjagaan.

- Sumber daripada freemalaysiatoday.com

 
  • Created on .
  • Hits: 303

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024