BERITA DALAM TALIAN : REALITI DEKORASI
https://www.hmetro.com.my/dekotaman/2022/09/878172/realiti-dekorasi
Bagi pemilik rumah atau mereka yang baharu berpindah pastinya menginginkan sebuah kediaman yang mempunyai dekorasi menarik.
Melihat foto di akhbar, majalah, laman sosial atau aplikasi foto mengenai hiasan dalaman pastinya menjadi rujukan bagi membuahkan idea mencantikkan rumah masing-masing.
Bagaimanapun, melakukan hiasan dalaman bagi segelintir individu bukan sesuatu yang mudah meskipun sudah menjadikan gambar yang dilihat sebagai idea untuk melakukan aktiviti dekorasi.
Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, sebenarnya perkara ini bukan sesuatu yang asing berlaku dalam kalangan pemilik rumah baharu.
Jelasnya, kadangkala pemilik rumah melihat gaya hiasan dalaman yang sudah dilaksanakan orang lain mampu diterapkan sepenuhnya kepada rumah mereka.
"Perkara ini sebenarnya tidak tepat. Kita jangan mudah terpengaruh dengan foto yang ditonjolkan di media sosial mengenai hiasan dalaman berjaya dilakukan.
"Di sebalik foto hiasan dalaman yang menarik di media sebenarnya tersirat pelbagai perkara yang perlu anda ambil tahu supaya imiginasi dalam dekorasi mampu menjadi kenyataan," katanya.
Justeru, Dr Mohd Hafizal berkongsi beberapa perkara yang perlu anda fikirkan dalam menata hias rumah tanpa terpengaruh seratus peratus bersandarkan sekeping gambar sahaja:
1. Kos
Jika dilihat, kualiti pembuatan, jenis bahan dan kompleksiti reka bentuk antara perkara utama yang mempengaruhi kos pembinaan dan penataan hiasan dalaman.
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengurangkan kos projek, tetapi masih mampu mengekalkan nilai estetika seperti yang ada dalam gambar yang kita minati.
Kita boleh memilih bahan lebih kos efektif, contohnya menggunakan lapisan komposit lamina dengan corak kemasan kayu, konkrit dan metal yang lebih murah berbanding bahan asli.
Selain itu, kini ada jubin bersaiz besar dengan corak batu dan mineral asli yang boleh digunakan bagi menggantikan marmar dan granit.
2. Tema
Untuk menghasilkan reka bentuk mengikut tema tertentu dalam bajet yang terhad, kita perlu bijak dalam membuat pembelian. Beli barangan perabot ketika promosi selain membuat perbandingan di kedai dan dalam laman web.
Kita juga perlu bijak menilai elemen yang menguatkan sesuatu tema.
Sebagai contoh, tema industri boleh dikuatkan dengan lepaan simen bertekstur konkrit atau batu bata pada dinding, selain menggabungkan beberapa perabot asas seperti lampu, meja dan kerusi besi yang bertemakan industri.
3. Sentuhan profesional
Kita juga boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman profesional bagi merealisasikan impian dalam menata hiasan rumah.
Pereka hiasan dalaman mempunyai jaringan yang luas dengan pengusaha bagi mendapatkan bahan dan barangan yang bersesuaian pada harga lebih rendah.
Selain itu, mereka juga arif dan berpengalaman dalam menentukan kesesuaian penggunaan sesuatu produk dalam projek itu.
4. Reka bentuk ruang
Dalam keadaan tertentu, tidak semua yang kita lihat dalam gambar, sesuai untuk diaplikasikan di rumah kita sendiri.
Bukaan dan ketinggian ruang menjadi elemen penting yang perlu dinilai.
Hiasan yang besar dan sarat semestinya tidak sesuai untuk diletakkan dalam ruang kecil atau sempit.
Sebagai contoh, tidak semua rumah sesuai untuk dibina dapur pulau atau bar dalam dapur.
Selain itu, kita juga perlu melihat sama ada pelan rumah itu mempunyai banyak dinding pemisah atau pelan dengan konsep terbuka.
Pelan dengan konsep terbuka biasanya tampak lebih luas dan lebih mudah untuk ditata hias.
5. Pertimbangan penyelenggaraan
Aspek ini juga amat penting dan perlu kita ambil perhatian.
Ada sesetengah rumah yang mempunyai pembantu, sememangnya lebih mudah dalam menjalankan aktiviti penyelenggaraan berbanding melakukannya sendiri.
Antara hiasan yang memerlukan penyelenggaraan yang kerap adalah reka bentuk pada jeriji bukaan seperti pintu dan tingkap, siling plaster dan peralatan hiasan seperti bingkai gambar yang mudah memerangkap habuk.
Reka bentuk jeriji yang kompleks semestinya sukar untuk dibersihkan.
Selain itu, siling plaster yang mempunyai lubang atau ruang lampu yang mungkin memerangkap habuk dan menjadi ruang pengumpulan najis cicak.
Disiarkan pada: September 3, 2022 @ 6:44am
-Sumber daripada hmetro.com.my
- Created on .
- Hits: 379