BERITA DALAM TALIAN: ORANG MUDA MAKIN HILANG SEMANGAT PATRIOTIK
MERDEKA. Laungan keramat kemerdekaan itu kini dikatakan semakin jauh buat golongan generasi muda apabila mereka dilihat tidak lagi menunjukkan semangat patriotik sempena Bulan Kebangsaan pada setiap 31 Ogos.
Ini kerana, kibaran Jalur Gemilang pada motosikal mahupun kenderaan yang dinaiki mereka kini jarang sekali atau sudah tidak lagi kelihatan di atas jalan raya. Jika ada pun, hanya boleh dikira dengan jari.
Siapa yang harus dipersalahkan jika diri sendiri tidak menjiwai semangat patriotisme dan menjengah kepayahan serta pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu.
Ketika ini, anak muda dilihat lebih mengutamakan kerjaya, wang sebagai pelengkap dan sumber saraan hidup berbanding memikirkan sejenak erti sebuah kemerdekaan.
Alasan tiada masa untuk memikirkan perkara lain bukanlah satu titik penyelesaian untuk kita tidak mengibarkan cukup hanya satu Jalur Gemilang bagi setiap individu.
Tidak kiralah apa kerjaya sekali pun, sama ada penghantar makanan, kurier, peniaga jalanan sehinggalah yang menjawat sebagai eksekutif, mereka tetap perlu menjiwai Bulan Kebangsaan yang disambut hanya setahun sekali.
Pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azmi Arifin berkata, kesedaran terhadap erti sebuah kemerdekaan dalam kalangan anak muda terutama remaja kini semakin dilupakan dan hanya dipelajari dalam subjek sejarah di sekolah sahaja.
Menurutnya, kira-kira 80 peratus anak muda kini dikatakan tidak lagi mempeduli akan sambutan Bulan Kemerdekaan berbanding hanya 20 peratus sahaja yang masih kekal menghayati serta menanamkan semangat patriotisme dalam diri.
“Banyak sebab perkara ini berlaku ketika ini jika hendak dibandingkan dengan beberapa tahun lalu. Salah satunya adalah penghayatan tentang kemerdekaan yang semakin berkurangan.
“Setiap kali negara menyambut Kemerdekaan pada 31 Ogos, barulah semua pihak termasuk agensi-agensi terlibat hendak mencari solusi dan berfikir tentang cara sambutan tersebut.
“Tiada satu pun eleman yang ditanam setiap masa, konsisten dan dikekalkan mengenai kepentingan sejarah serta kemerdekaan negara. Jika diamati, remaja hari ini jarang sekali dan sudah tidak berminat dengan bahan pembacaan buku teks. Mereka lebih tertumpu kepada perkara lain di media sosial,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Jelasnya, pihak berwajib seharusnya memainkan peranan penting dalam usaha mengembalikan semangat kemerdekan dalam kalangan anak muda sekali gus mencari jalan untuk menaikkan semangat hari bersejarah.
“Kita sepatutnya mencari mereka dan bukannya mereka yang mencari kita. Selain itu, keadaan semasa juga menjadi antara punca utama kurang penghayatan tentang kemerdekaan.
“Isu politik, kenaikan harga barangan keperluan dan kos sara hidup membuatkan orang muda kini tidak boleh berfikir di luar konteks ini. Tumpuan tidak dapat diberikan memandangkan mereka lebih mengutamakan kelangsungan hidup.
“Pada masa ini sangat kurang rancangan bagi menaikkan semangat patriotik. Tidak hanya itu, penganjuran program berkisar kemerdekaan juga dilihat semakin hambar dan kelam pada tahun ini,” jelasnya lagi.
Tidak hanya bergantung pada kerajaan, tugas utama adalah rakyat sendiri apabila mereka perlu semai semangat cintakan tanah air dan patriotisme dalam kalangan keluarga terutama anak muda supaya kita dapat mengekalkan kemerdekaan ini.
- Sumber daripada kosmo.com.my
- Created on .
- Hits: 651