BERITA DALAM TALIAN: KELUARGA MALAYSIA TEKAD BERSAMA
MALAYSIA bakal meraikan Hari Kebangsaan yang ke-65 dan Hari Malaysia ke-59 tahun. Tema tahun ini ialah ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Selepas beberapa tahun berada dalam keadaan luar biasa akibat pandemik Covid-19 di peringkat global, kini ia sudah menjejaki fasa endemik.
Setiap persekitaran ada waktunya, setiap momen ada pengalamannya dan setiap sejarah ada ilmunya. Begitu juga dengan sambutan Hari Kebangsaan.
Generasi merdeka melalui zaman berbeza. Ada pasang surutnya, ada yang sukar digambarkan semula sekadar mahukan ia tidak kembali menjadi igauan untuk generasi akan datang.
Zaman berubah, pesaka bergilir. Hari ini generasi pasca-merdeka merasai kenikmatan peninggalan generasi merdeka. Walaupun pengalaman dan masanya berbeza, semangat, keazaman serta keinginan untuk melihat warisan kesinambungan kebebasan dipertahankan walau sesiapa yang menamakan dirinya warga Malaysia.
Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia penting untuk setiap individu yang bangga menjadi warga bumi ini. Penghayatan dan pengisiannya merangkumi segala aspek kehidupan kita sama ada dalam sektor ekonomi, politik atau sosial.
Semangat nasionalis Melayu yang kemudiannya membawa kepada perjuangan perajurit tanah air berserta dengan wira kebangsaan membolehkan kemerdekaan dicapai melalui rundingan bersama. Ia adalah paparan sifat kepunyaan, perkongsian, kompromi dan negosiasi.
Mediasi memberikan gambaran bagaimana untuk membolehkan kita terus hidup rukun walau masih bergelut dengan konotasi ‘hidup berdampingan tetapi berasingan’ dan ‘kita bergaul tetapi tidak bergabung’.
Usaha berterusan dilakukan untuk meratakan yang tidak seimbang dan melicinkan yang mencapah. Ia memerlukan komitmen dan rasa tanggungjawab bersama di bawah payung keluarga besar yang dinamakan ‘Malaysia’.
Tekad untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara, menjunjung ketertinggian perlembagaan, mempertahankan negara, bersedia berkorban demi Malaysia perlu hadir dengan perasaan jiwa yang bangga ke atas negara ini kerana kita adalah ‘Malaysia’ dan ‘Malaysia’ adalah kita.
Ia merentasi etnik, agama, gender, kepercayaan, fahaman politik dan persempadanan Semenanjung, Sabah serta Sarawak.
Sepanjang tempoh pandemik, kita mampu mengetepikan perbezaan dan bersedia menunjukkan sifat ‘kebergantungan’ antara satu sama lain di alam maya. Itu bermakna kita juga perlu bertekad memastikan yang dibina tidak dirobohkan begitu sahaja.
BAWA PEMBAHARUAN
Kepelbagaian mewarnai Keluarga Malaysia. Kita juga tahu bukan mudah mengurus kerencaman negara ini tetapi ia tidak boleh menjadi penghalang, sebaliknya dijadikan kekuatan untuk terus memacu kecemerlangan.
Malaysia tidak sempurna tetapi yang boleh membawa pembaharuan untuk terus menjadi lebih baik adalah kita. Jika kita bersekongkol dengan mereka yang mempunyai agenda berkepentingan, maka musnahlah apa yang telah diwariskan generasi merdeka dan pejuang kemerdekaan.
Setiap tahun apabila meraikan hari istimewa ini, percayalah ia juga bertujuan untuk memberikan peringatan kepada kita agar sentiasa memelihara kerukunan, keamanan dan kesejahteraan.
Kukuh rukun dan nilai, kukuh negara. Bina kekuatan daripada perbezaan. Jika kita bersama dengan tekad luar biasa, segalanya akan dipermudahkan dan berjalan dengan licin serta lancar.
Jangan menjadi golongan ‘sokong bawa rebah’ dan yang bersorak melihat kegagalan negara ini. Merdekakan mereka daripada pemikiran jumud dan cabaran sebenar hari ini adalah pertembungan pemikiran serta daya saing dalam dan luar negara.
Keluarga Malaysia adalah manifestasi kepada demografi dan geografi negara ini. Setiap warganya adalah pembina negara Malaysia.
Warisan daripada generasi ke generasi bergantung kepada iltizam dan kemampuan untuk memahami, menghormati serta menerima bahawa Malaysia ada sejarah yang berbeza dengan negara lain.
Bertekad untuk membawa masa depan lebih baik selepas melihat gangguan ke atas sistem dan struktur sekian lama adalah tanggungjawab kita. Ia wajar dididik dalam keluarga sendiri, institusi pendidikan, ruang pekerjaan, media, rakan sebaya dan pemimpin menjadi teladan untuk menyemarakkan jiwa merdeka, patriotisme serta nasionalisme ke atas Malaysia.
Sama-sama kita raikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan cara sendiri. Merdeka!
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
-Sumber daripada premium.sinarharian.com.my
- Created on .
- Hits: 360