USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: RANGKA PURBA ‘PENANG WOMAN’ BERUSIA 5,000 TAHUN AKHIRNYA ADA MUKA

https://siakapkeli.my/2022/08/10/rangka-purba-penang-woman-berusia-5000-tahun-akhirnya-ada-muka/

Nur,18 jam yang lalu

 
Mengimbau beberapa tahun kebelakang, Guar Kepah, Pulau Pinang merupakan tapak pra-sejarah pertama di Semenanjung yang ‘digali’ untuk dikaji sejak 1860, kira-kira 162 tahun yang lalu.

Sepanjang kajian yang dijalankan, sebanyak 41 rangka manusia telah ditemui oleh Ahli Arkeologi British ketika itu dan dilaporkan telah diletakkan di Muzium Natuurhistorisch, Leiden, Belanda.

Penemuan rangka manusia dengan lengan dilipat ke dada

Pada tahun 2017, seorang pakar arkeologi tempatan, Mokhtar Saidin meneruskan penyelidikan di Guar Kepah pada April dan menemui penemuan terpenting sepanjang penggaliannya.

Satu rangka manusia ditemukan dengan lengannya dilipat ke dada dan dikelilingi tembikar, alat batu dan beberapa spesis cangkerang.

Dikenali sebagai ‘Penang Woman’, rangka manusia ini dianggarkan mati ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian sekitar 150 cm.

Berdasarkan ujian pada tisu rangka, ia turut menyimpulkan bahawa individu ini banyak mengambil protein daripada makanan laut atau sungai.

Melalui laporan Buletin Mutiara bertarikh 1 Jun 2017, Mokhtar menyatakan, “(Tengkorak ‘Penang Women’ ini) maknanya mewakili masyarakat Zaman Neolitik, hampir ke-6000 tahun dahulu.”

Beliau kemudian menyatakan bahawa buat pertama kali selepas era 1951-1961, penemuan terbesar iaitu kejayaan menjumpai semula struktur bukit kerang (shell midden) di bahagian dasar yang dipenuhi oleh artifak tembikar dan alat batu.

“Di luar jangkaan saya, saya ingat (bukit kerang) ini dah habis semua pupus.”

‘Penang Woman’ berusia 5,000 tahun akhirnya mempunyai wajah

Terkini, sepasukan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bersama pakar grafik 3D telah menggunakan kaedah ‘forensic facial approximation method’ untuk membina semula ciri-ciri wajah ‘Penang Woman’ itu.

Hasil daripada kaedah tersebut, akhirnya ‘Penang Woman’ kini mempunyai muka lengkap.

Pencapaian ini dianggap antara pencapaian terhebat didalam bidang arkeologi sekaligus usaha ini mempromosikan dokumentasi digital dalam pemuliharaan jenazah manusia di Malaysia.

Bagi yang berminat untuk melihat terus tapak arkeologi dan replika ‘Penang Woman’ boleh ke Galeri Warisan Guar Kepah. Rangka ‘Penang Woman’ yang asli masih dipelihara dan diteliti di USM kerana ia perlu berada dalam persekitaran terkawal dengan suhu dan kelembapan yang baik.

-Sumber daripada siakapkeli.my

 

 

  • Created on .
  • Hits: 405

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024