USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: MANFAATKAN RUANG NEGATIF

https://www.msn.com/en-my/news/berita/manfaatkan-ruang-negatif/ar-AA10maBV

Hafiz Ithnin - 6 jam yang lalu
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
RUANG bawah tangga sering kali menjadi ruang negatif dalam rumah.
© Provided by Harian Metro
RUANG bawah tangga sering kali menjadi ruang negatif dalam rumah.

KADANGKALA menjadi sesuatu yang 'memeningkan kepala' untuk menyusun atur perabot dan aksesori dalam rumah.

Apatah lagi jika si pemilik tiada pengalaman hiasan dalaman, tetapi mengimpikan susun atur atur perabot yang sesuai dalam rumah.

Malah, lebih menjadi cabaran sekiranya ada ruang yang jika tidak mendapat sentuhan hiasan dalaman ia tampak negatif.

Pensyarah ProgramSeni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, ruang negatif dalam rumah adalah satu kawasan yang kosong tanpa meletakkan sebarang perhiasan contohnya perabot, perhiasan, bingkai gambar dan artifak seni.

Jelasnya, selain itu, ruang negatif boleh juga diertikan sebagai ruang antara perabot dan ruang antara perabot serta dinding yang biasanya kosong dan tidak diguna pakai.

"Ada sesetengah pihak menganggap ruang negatif penting untuk menghasilkan keseimbangan visual dalam penataan dalaman kerana jika sesuatu ruang terlalu padat dihias menjadikan sesuatu ruang tampak sesak.

"Penting untuk mewujudkan ruang bernafas atau ruang legar supaya kita tidak berasa serabut dengan persekitaran yang kita diami," katanya.

Tambahnya, ada ketikanya, ruang negatif ini wujud untuk membentuk pembahagian antara ruang dengan penghasilan laluan bagi rumah yang mempunyai pelan terbuka.

"Selain itu, dengan adanya ruang negatif yang kosong ini, sesetengah barangan yang ingin dipamerkan seperti lukisan, kerusi, arca, almari dan sebagainya akan lebih menonjol.

"Hal ini akan mewujudkan titik fokus pada barangan itu. Jika ruang itu ditata hias secara berlebihan, maka hilang keunikan sesuatu perabot dan hasil seni yang hendak ditonjolkan," katanya.

Tambahnya, ada juga ruang negatif bagi rumah yang mempunyai pelan lantai dengan bucu tajam atau melengkung yang sukar untuk dipadankan atau diletakkan peralatan hiasan.

"Jadi, apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Sebelum itu, mari kita lihat, contoh ruang negatif yang biasanya wujud dalam rumah seperti ruang tangga, ruang antara ruang tamu dan ruang makan, ruang masuk dan ruang bersebelahan tingkap," katanya.

Bagi ruang tangga, bahagian bawah tangga boleh ditutup dengan dinding untuk dijadikan ruang penyimpanan.

"Dinding stor itu boleh diletakkan satu meja konsul dan dihiasi dengan pasu, buku, bingkai gambar atau lampu. Selain itu, ruang ini juga boleh diolah untuk dijadikan sebagai perpustakaan mini di rumah dengan meletakkan rak buku terbuka dan dipadankan dengan sebuah kerusi serta meja sisi.

"Untuk meletakkan lampu pula, memandangkan ruang ini mempunyai siling yang agak tinggi, lampu candelier juga boleh dipasang, mengikut kesesuaian tema yang ingin ditonjolkan," katanya.

Katanya, bagi ruang laluan masuk pula, peminat penata hiasan dalaman boleh melihat jenis ruang masuk sama ada mempunyai dinding tampak atau berbentuk koridor.

"Bagi ruang masuk yang mempunyai dinding tampak lebih mudah untuk dihias. Dinding itu akan menjadi dinding fokal yang menjadi komponen pertama yang dilihat oleh pengunjung.

"Meja konsul boleh diletakkan dengan beberapa peralatan hiasan seperti pasu, buku dan bingkai gambar. Beberapa bingkai gambar besar juga boleh digantung pada dinding itu," katanya.

Tambahnya, jika dinding itu tampak lebar, kerusi boleh diletakkan di sebelah kiri dan kanan meja konsul berkenaan. Untuk menaikkan lagi seri dinding, kertas dinding bercorak atau panel dinding juga boleh dipasang. © New Straits Times Press (M) Bhd

- Sumber daripada msn.com

  • Created on .
  • Hits: 324

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024