BERITA DALAM TALIAN: JALUR GEMILANG LAMBANG PENYATUAN JIWA MERDEKA
https://berita.rtm.gov.my/index.php/laporan-khas/44634-jalur-gemilang-lambang-penyatuan-jiwa-merdeka
August 5, 2022 / Written by Media Baharu Published in Laporan Khas
KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Di sebalik kibaran megah Jalur Gemilang, ia adalah lambang penyatuan jiwa merdeka rakyat Malaysia.
Jalur Gemilang atau nama rasminya bendera Malaysia menggantikan bendera Union Jack sewaktu penjajahan British, menunjukkan Malaysia sebuah negara bebas dan berdaulat.
Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan Jalur Gemilang sebagai pewakilan negara di pentas dunia.
"Ia perwakilan negara kepada dunia, perwakilan negara kita sebagai sebuah negara berdulat, masyarakatnya bersatu padu dan kita juga mempunyai jati diri kental dan sudah tentu kita punyai perasaan cintakan negara," katanya kepada wartawan RTM Nur Fatihah Ab Rahim.
Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula berkata Jalur Gemilang perlu dihormati dan tidak boleh diubah atau diperlakukan sewenang-wenangnya.
"Jalur Gemilang ini besar maknanya secara tersirat, tersurat bagaimana simbol itu memberikan gambaran kepada kita agar terus mempunyai semangat nasional yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan dan bersedia mempertahankan negara ini dalam apa jua keadaan," katanya.
Jelas beliau, sesuatu perkara yang telah diwartakan sebagai lambang negara atau jata perlu digunakan berdasarkan peraturan sedia ada.
Mana-mana individu di negara ini yang tidak menghomati penggunaan Jalur Gemilang boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan, di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan menyatakan seharusnya sebagai rakyat Malaysia, diri berbangga dengan bendera negara tidak kira di mana ia berkibar.
"Tidak dapat dinafikan kita akan merasa bangga dan terharu apabila melihat Jalur Gemilang berkibar semasa Sukan Komanwel di Birmingham ketika ini, ditambah dengan mainan lagu Negaraku sudah pasti Jalur Gemilang tu berkibaran membawa makna yang agak unik bukan bagi kita sahaja tetapi bagi setiap negara, jadi itu istimewanya sebuah bendera yang dipanggil Jalur Gemilang," jelasnya.
Tambah Dr Azmi, bukan sahaja Jalur Gemilang, malah setiap bendera negeri juga perlu diberi penghormatan yang sama kerana ia melambangkan jati dan identiti negeri berkenaan.
Jalur Gemilang merupakan simbol dan lambang kemerdekaan serta kedaulatan negara yang perlu dipertahankan.
Laporan Nur Fatihah Ab Rahim
-Sumber daripada berita.rtm.gov.my
- Created on .
- Hits: 664