USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: BUDAYAKAN KEUSAHAWANAN, SASAR ISI RUMAH BERPENDAPATAN TINGGI

https://www.buletinmutiara.com/budayakan-keusahawanan-sasar-isi-rumah-berpendapatan-tinggi/

Admin / August 2, 2022

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan melancarkan kempen Keusahawanan Satu Budaya dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan dan isi rumah berpendapatan tinggi sejajar dengan visi Penang2030.

Menurut Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, fokus kempen tersebut bakal memberikan tumpuan kepada lima perkara melibatkan perusahaan mikro, kecil sederhana (SME) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Lima objektif yang ingin dicapai melalui kempen ini adalah, membudayakan usahawan sebagai kerjaya pilihan, mewujudkan peluang pekerjaan melalui SME dan membina daya kreativiti melalui inovasi produk Made in Penang ke pasaran global.

“Tambahan kepada itu termasuklah membudayakan keusahawanan melalui transformasi digital dan e-dagang serta meningkatkan pendapatan isi rumah seperti disasarkan dalam visi Penang2030 dengan melahirkan satu rumah satu usahawan seterusnya merapatkan jurang pendapatan rakyat,” ujar beliau ketika merasmikan Pra Pelancaran Kempen Keusahawanan Satu Budaya dekat sebuah hotel di George Town semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Dato’ Aziz Bakar dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Dalam menjayakan kempen ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 untuk diagihkan kepada badan-badan berkaitan.

“Daripada peruntukan tersebut, RM50,000 kepada lima Pejabat Daerah manakala RM100,000 diperuntukkan kepada USM untuk menggerakkan program bersama pelajar dan para usahawan, selebihnya disalurkan kepada agensi negeri, pusat serta badan bukan kerajaan,” katanya yang juga ADUN Batu Maung.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

- Sumber daripada Buletin Mutiara.com

  • Created on .
  • Hits: 399

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024