USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: ‘MERAKYATKAN KESELAMATAN’

https://premium.sinarharian.com.my/article/212416/mediasi-kritis/cetusan/merakyatkan-keselamatan

SIVAMURUGAN PANDIAN
31 Julai 2022 09:45am | Masa membaca: 4 minit
‘Merakyatkan keselamatan’ mesti dilihat sebagai ‘blok pembina’ ke atas kedamaian dan negara bangsa. - Foto hiasan 123RF‘Merakyatkan keselamatan’ mesti dilihat sebagai ‘blok pembina’ ke atas kedamaian dan negara bangsa. - Foto hiasan 123RF

BARU-BARU ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengadakan Persidangan Keselamatan Negara.

Antara tema dibincangkan adalah inisiatif ‘Pengurusan Keselamatan Berasaskan Kepada Komuniti’, yakni usaha kerajaan membentuk minda keselamatan dalam kalangan masyarakat sebagai strategi di bawah Dasar Keselamatan Negara dengan pendekatan keselamatan menyeluruh dan menjadikannya tanggungjawab bersama.

Ia mahu membawa semua masyarakat bersama mendepani cabaran keselamatan dan mendukung aspirasi mempertahankan nilai di sebaliknya termasuk menjadi mata dan telinga pihak berwajib dalam apa juga krisis melanda negara termasuk bencana, jenayah serta keharmonian komuniti.

Kedaulatan negara, keamanan dan kesejahteraan tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.

Hatta, ia merupakan inisiatif pengurusan keselamatan berasaskan kepada komuniti yang signifikan untuk mempertahankan apa yang telah dibina sepanjang pasang surut dilalui dalam kesemua fasa tawarikh tanah air.

Keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan adalah punca kekuatan yang wajar disimpul bersama dengan inisiatif diambil oleh kerajaan mahupun komuniti.

Kukuh rukun, kukuh negara; kukuh nilai, kukuh negara.

Tingkah laku kenegaraan, identiti nasional, kesetiaan kepada negara dan rasa cinta pada negara penting untuk mengurus keselamatan berasaskan kepada komuniti. Simpulan teguh pada citra ‘kewarganegaraan’ mesti berlapiskan jati diri Malaysia.

Rangkuman identiti, budaya dan nilai nasional penting dalam penjajaran pengurusan keselamatan komuniti. Ia juga dihubung kait dengan struktur patriotisme.

Ia perlu berpegang kepada prinsip 3K iaitu meneliti ‘Kandungan’, memperkukuhkan ‘Komunikasi’ dan bersifat ‘Komprehensif’. Metodologinya mesti berteraskan kepada ‘perkukuhkan’, ‘perkembangkan’ dan ‘persejahterakan’ komuniti’ (3P) di bawah strategi ‘merakyatkan keselamatan’.

Naratif perlu diatur dengan bermatlamatkan membawa keselesaan kepada rakyat, kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Yang asas tidak boleh dipinda termasuk menyantuni perlembagaan dan Rukun Negara.

Inisiatif itu agar lahir komuniti yang diselaputi dengan ‘perwatakan yang menunjukkan sahsiahnya ke atas negara, mengakui kedaulatan struktur demografi dan geografi tanah dihuninya perlu dihormati serta difahami walau berbeza agama, etnik, gender, kepercayaan mahupun fahaman politik.

Kesemuanya akan bersama memerangi segala ancaman dan membela negara dalam proses pembinaan struktur tadbir tanah air'.

Takrifan ‘mengurus keselamatan berasaskan kepada komuniti’ penting untuk didalami agar sifat sebagai ‘pelindung’ dilakar dengan kepercayaan dan keyakinan walaupun masyarakat mula menjadi materialistik serta individualistik.

Pengukuhan dengan komunikasi termasuk memperbaiki pelantar sedia ada di samping mencari telapak baharu perlu sentiasa diteruskan.

KONTRAK SOSIAL

Itu bermakna ketika krisis atau konflik, kebersamaan dengan nilai kemanusiaan dan keinsanan akan terpelihara, bukan sebaliknya. Komuniti hari ini bersifat dinamik dan tidak statik. Ramai telah mempunyai pelbagai saluran maklumat termasuk media sosial untuk mengetahui agenda keselamatan.

Kontrak sosial baharu perlu membina rasa ‘perlindungan’ tanpa dirobek ketaatan kepada negara berdaulat. Inisiatif baharu juga tidak boleh mengabaikan pertembungan pemikiran dan usaha mempertahankan nilai kenegaraan.

Inisiatif kerajaan mahupun komuniti adalah pada yang komuniti mahukan, apa keperluan komuniti dan cara komuniti berfikir penting, bergerak sebagai ‘satu negara, satu matlamat’.

Komuniti penyayang boleh dilahirkan jika ‘yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul’. Diri sendiri memainkan peranan besar bersama keluarga, institusi pendidikan, media, agensi kerajaan dan pemimpin untuk memahami, menerap serta menjadikannya amalan.

Bucu kecairan nilai mesti diatasi bersama

Masa depan memerlukan ‘faktor penyatuan’. ‘Merakyatkan keselamatan’ mesti dilihat sebagai ‘blok pembina’ ke atas kedamaian dan negara bangsa.

Hubungan antara komuniti dan kerajaan bersifat saling melengkapi untuk membawa kepada legitimasi kerajaan dan agensinya yang turut bertanggungjawab ke atas penginstitusian formal serta tidak formal.

Pengurusan keselamatan berasaskan kepada komuniti adalah tawaran dengan formula untuk membaik pulih bucu-bucu yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah dalam komuniti.

‘Merakyatkan keselamatan’ adalah parameter perubahan dalam kesinambungan persekitaran mutakhir tanah air untuk menjiwai ‘selamat’.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

- Sumber daripada Sinar Harian

  • Created on .
  • Hits: 286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024