BERITA DALAM TALIAN: TAPIS PESERTA PROGRAM KITA DEMI NEGARA, BEKAS KPN BERITAHU PUTRAJAYA
Esther Yap – 1 jam yang lalu
PETALING JAYA: Seorang bekas polis atasan menggesa kerajaan supaya menapis peserta program keselamatan negara seperti dicadangkan yang akan mengambil ribuan orang untuk bertindak sebagai “mata dan telinga” Kementerian Dalam Negeri (KDN) di lapangan.
Bekas ketua polis negara antara 2006 dan 2010, Musa Hassan, berkata program dikenali sebagai “Kita Demi Negara” itu mungkin mendatangkan faedah tetapi ia mesti dilaksanakan dengan baik.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, lebih 2,000 telah mendaftar program tersebut untuk membantu isu berkaitan keselamatan di lapangan. Kementerian itu mensasarkan untuk mengambil 20,000 peserta dalam tempoh enam bulan.
Peserta boleh mengambil bahagian dalam aktiviti di bawah agensi keselamatan kementerian dan bertindak sebagai “mata dan telinga” di lapangan. Peserta juga boleh membantu menyebarkan maklumat yang tepat kepada orang ramai.
Musa berkata: “Ia penting untuk berhati-hati dengan orang yang memberikan maklumat, kita perlu tahu latar belakang mereka dan sama ada mereka ikhlas dalam membantu kementerian.”
“Perincian lanjut mengenai program itu dan penekanan yang lebih besar terhadap pelaksanaannya pasti diperlukan,” katanya.
Manakala peguam, Foong Cheng Leong berkata, laporan palsu atau tidak betul bukan sahaja akan membazirkan sumber kerajaan tetapi juga memberi kesan negatif kepada rakyat yang tidak bersalah.
“Jelas sekali, akan ada kesan jika menyerahkan maklumat palsu atau mengelirukan, tetapi kesannya kepada mangsa keadaan seperti itu mungkin lebih besar.”
Beliau berkata kementerian mesti mewujudkan tatakelakuan yang terperinci untuk dipatuhi anggota.
Selain itu, pakar jenayah P Sundramoorthy berkata, program itu boleh membantu menyokong agensi keselamatan tetapi kerajaan mesti memastikan privasi peribadi dilindungi.
Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, inilah sebabnya kerajaan mesti memberikan lebih banyak butiran operasi mengenai program itu, termasuk peranan sebenar peserta.
- Sumber daripada MSN
- Created on .
- Hits: 290