USM PERKENAL INISIATIF MENU EKONOMI BANTU PELAJAR
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2097492
05/07/2022 06:02 PM
GEORGE TOWN, 5 Julai (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan inisiatif menu ekonomi di setiap kafeteria Desasiswa universiti itu dengan harga RM5 dan turut menjual makanan pada harga berpatutan dalam usaha membantu pelajar yang berhadapan kesulitan.
Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) UAM Prof Dr Azlinda Azman dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya juga akan sentiasa memantau harga makanan di semua premis universiti itu bagi memastikan ia dijual pada harga yang berpatutan dan sentiasa mendapatkan maklum balas pelajar tentang perkara tersebut.
Katanya pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah berjumpa dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan kehidupan pelajar di kampus iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), pengusaha kafetaria dan Majlis Penggawa Desasiswa untuk memastikan harga makanan yang dijual di semua premis universiti berpatutan kepada pelajar.
"USM menghargai dan berterima kasih kepada MPP, MPD dan pengusaha kafetaria yang bekerjasama rapat dengan universiti menghadapi isu ini. Kita mendapat komitmen pengusaha kafetaria untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya yang boleh memberi kesan kepada pelajar.
"Kafetaria di kampus juga mengambil langkah tertentu dengan menjual makanan pada harga berpatutan dan membantu pelajar yang berhadapan kesulitan antara inisiatif yang diambil adalah memperkenalkan menu ekonomi di setiap kafeteria Desasiswa USM dengan harga RM5.
"Dengan harga ini, pelajar disajikan menu nasi putih, sayur, ikan atau ayam dan kuah atau sambal. USM juga memperkenalkan Kafe Bebas Plastik di semua kafeteria Desasiswa USM pada 1 Ogos ini seperti yang telah dilancarkan oleh Desasiswa Saujana pada 30 Jun lepas," katanya.
Azlinda berkata dengan pengurangan kos pembelian plastik seperti kotak bungkus makanan, cawan air, penyedut minuman dan beg plastik, maka pengusaha kafeteria akan bersama-sama dengan USM untuk menyediakan makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan.
Katanya USM turut membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh digunakan semula setiap kali membungkus makanan yang dibeli dari kafeteria.
"Kita sedar, sebahagian besar pelajar adalah dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang mana, mereka ini akan terjejas teruk jika berlaku kenaikan kos makanan di kampus. Oleh itu, universiti menetapkan harga siling dan turun padang memantau secara berterusan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata HEPA USM juga sedang menggembleng sukarelawan pelajar untuk membantu mangsa banjir di Baling, Kedah dan sukarelawan pelajar juga sedang membuat kutipan untuk disalurkan kepada mereka di sana.
"Kita sedang mengumpulkan sukarelawan dan membuat kajian terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat tersebut terutamanya dalam kalangan pelajar dan warga universiti," katanya.
Beliau berkata kutipan dijalankan oleh Sekretariat Sukarelawan USM bersama Kumpulan Anak-Anak Kedah Universiti Sains Malaysia (KAKUSMA) dan mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan melalui akaun CIMB BANK USM 98986100700035.
Sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada Nor Aza Abdul Aziz di talian 013-4231211 atau Siti Murshida Abd Mutalib menerusi talian 019-4644533. - BERNAMA
-Sumber daripada Bernama Online
- Created on .
- Hits: 350