USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

PENIAGA CADANG BERI PELAJAR KUPON DISKAUN

https://www.msn.com/en-my/news/berita/peniaga-cadang-beri-pelajar-kupon-diskaun/ar-AAZcRWz

Siti Aminah Mohd Yusof - Yesterday 2:51 pm

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Peniaga Nooradeela menunjukkan nasi yang boleh dijual dengan harga RM3.50 di kampus USM. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Peniaga Nooradeela menunjukkan nasi yang boleh dijual dengan harga RM3.50 di kampus USM. - Foto NSTP/MIKAIL ONG

GEORGETOWN: Peniaga makanan mencadangkan Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan kupon diskaun kepada pelajar dan memberi subsidi kepada pengusaha, bagi membolehkan menu terbaik pada harga siling RM3.50.

Abdul Hamid Ibrahim, 58, berkata gerainya ada menyediakan nasi bujang iaitu, nasi putih, telur dadar, sup kosong, timun dan sambal belacan pada harga RM2.50, sejak 12 tahun lalu.

"Saya fikir pada harga RM3.50, hidangan kami terhad kepada nasi goreng dengan telur mata saja.

"Kalau ada subsidi, kami boleh menawarkan hidangan yang lebih pelbagai seperti ayam atau daging supaya pelajar tidak jemu makan menu yang lebih kurang sama," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Nooradeela Kamal Suradee, 34, berkata gerainya menyediakan lebih 40 juadah dan menu RM3.50 boleh dijual mengikut kreativiti peniaga.

"Pada harga itu, pelanggan boleh dapat nasi putih, sayur, telur ditambah dengan pilihan kentang sambal atau terung masak sambal. Kami tidak mengenakan caj tambahan untuk pembungkusan.

"Kami juga ada jual nasi ayam berharga RM5. Kalau pelajar tidak cukup duit, biasanya kami halalkan saja. Seekor ayam kami potong 10. Jadi, saiz ayam kami agak besar.

"Menu kami ada mahal, ada murah untuk meraikan semua pelanggan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Prof Dr Azlinda Azman, berkata universiti sentiasa memantau harga makanan di kafetria dalam kampus, selain mendapatkan maklum balas pelajar berhubung perkara itu.

"USM menggembleng usaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), pengusaha kafetaria dan Majlis Penggawa Desasiswa untuk memastikan harga makanan di semua premis universiti berpatutan.

"Kita sedar sebahagian besar pelajar daripada kumpulan B40 yang teruk terjejas, jika berlaku kenaikan kos makanan di kampus.

"Universiti menetapkan harga siling dan turun padang melakukan pemantauan secara berterusan," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

-Sumber daripada MSN Online 

  • Created on .
  • Hits: 217

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024