KONTRAKTOR BANTU GRADUAN JADI TETAMU KHAS MAJLIS KONVOKESYEN USM

https://www.kosmo.com.my/2022/06/01/kontraktor-bantu-graduan-jadi-tetamu-khas-majlis-konvokesyen-usm/

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan (kiri) bersama Ashri Haya pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM di sini semalam.
 
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
1 Jun 2022, 2:38 pm

GEORGE TOWN – Seorang kontraktor perkhidmatan pencucian tidak menyangka bantuan membonceng graduan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini 24 Mei lalu mendapat perhatian ramai termasuk pihak pengurusan tertinggi universiti itu semalam.

Ashri Haya, 50, yang merupakan pemilik motosikal jenis Honda EX5 telah dijemput menjadi tetamu khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia amat terharu dan berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan pihak universiti berkenaan.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah di Bandar Perda, Seberang Jaya. Kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM.

“Semasa dalam perjalanan, saya ternampak seorang graduan lelaki tidak henti-henti menahan dan melambai penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang seperti mahu mendapatkan pertolongan.

“Memang ketika itu berlaku kesesakan teruk dan dia (graduan) dilihat seperti memegang jubah konvokesyen USM. Saya terus menumpangkannya kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ashri memberitahu lagi, dia juga terkejut apabila tindakannya itu mula menjadi tular di media sosial dan mendapat pujian dalam kalangan rakan dan orang ramai.

Terdahulu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Datuk Dr. Musa Ali telah merakamkan penghargaan buat Ashri dengan pemberian cenderamata. -KOSMO! ONLINE

-Sumber daripada Kosmo Online

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015