USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

USM HARGAI JASA ASHRI BAWA GRADUAN USM HADIRI UPACARA KONVOKESYEN

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/06/usm-hargai-jasa-ashri-bawa-graduan-usm-hadiri-upacara-konvokesyen/

DR. FAISAL RAFIQ Mahamd Adikan (kanan) beramah mesra dengan Ashri Haya yang dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra, USM Pulau Pinang selepas membantu seorang graduan yang terkandas dalam kesesakan di Jambatan Pulau Pinang menghadiri Upacara Konvokesyen ke-59 USM baru baru ini.
 
Oleh SAFINA RAMLI
1 Jun 2022, 12:24 pm

GEORGETOWN: Seorang kontraktor perkhidmatan pencucian, Ashri Haya, 50, yang menjadi ‘penyelamat’ selepas membawa seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) membonceng motosikalnya ke upacara konvokesyen langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna cukup besar.

Kisah Ashri dan graduan berkenaan, R. Kevin, 28, sebelum ini mendapat perhatian ramai setelah gambar Ashri membawa Kevin menaiki motosikalnya sehingga ke USM kerana Jambatan Pulau Pinang mengalami kesesakan luar biasa tular dalam media sosial.

Ketika itu, Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau dan Ashri kemudian membantu Kevin meredah kesesakan di atas jambatan dengan menaiki motosikal.

Mengulas mengenai kejadian itu, Ashri berkata, dia terus menyambung kerja hariannya seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan sehinggalah keesokan harinya rakan di tempat kerja menunjukkan berita berkaitan dirinya mendapat liputan meluas media.

”Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja dan kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM. Saya nampak graduan berkenaan terdesak mahu mendapatkan pertolongan kerana dia tidak henti-henti menahan penunggang motosikal. Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya tumpangkan dia kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya di sini hari ini.

Ashri dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan berkesempatan beramah mesra dengan pengurusan tertinggi universiti berkenaan.

Pada 24 Mei lalu, Kevin bertindak nekad menumpang sebuah motosikal untuk menghadiri upacara konvokesyen di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) selepas tersangkut dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang selama lebih dua jam.

Menurut Ashri, kesesakan jalan pada ketika itu agak buruk dan dia sempat melihat ada di antara pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa bersarapan dalam kereta, keluar dari kenderaan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.

”Walaupun pertolongannya nampak kecil, namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Datuk Dr. Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada beliau dan menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahsri turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat. – UTUSAN

-Sumber daripada Utusan Online

  • Created on .
  • Hits: 379

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024