USM HARGAI USAHA ASHRI TUMPANGKAN GRADUAN
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2087087
USM menjemput Ashri Haya, 50, ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM itu bagi menghargai jasanya membawa graduan R.Kevin, 28, dari Jambatan Pulau Pinang ke USM, yang kisahnya sebelum ini menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.
Ashri berkata beliau langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak dan semasa kejadian itu dia dalam perjalanan ke tempat kerja yang kebetulan memang bertugas menyelia kerja-kerja pencucian di USM.
"Saya nampak graduan itu terdesak mahu mendapatkan pertolongan kerana dia tidak henti-henti menahan penunggang motosikal yang melalui Jambatan Pulau Pinang dan ketika itu keadaan memang sesak teruk kerana ada kemalangan maut di laluan menghala ke pulau.
“Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya tumpangkan dia kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,'' katanya di sini hari ini.
Pada 24 Mei lepas Kevin bertindak nekad menumpang sebuah motosikal untuk menghadiri upacara konvokesyen di Dewan Tuanku Syed Putra selepas tersangkut dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang selama lebih dua jam.
Sementara itu Naib Canselor USM Prof. Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata USM menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.
''Walaupun pertolongannya nampak kecil namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak,'' katanya.
Sementara itu pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM Datuk Dr. Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada beliau dan menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahsri turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat.- BERNAMA
-Sumber daripada Bernama Online
- Created on .
- Hits: 358