USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

'BUDI YANG BAIK DIKENANG JUGA'

 
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Jun 1, 2022 @ 8:57pm
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan (kanan) berbual dengan Ashri Haya (kiri), dalam pertemuan khas pada Upacara Konvokesyen ke-59 USM, hari ini. - Foto IHSAN USM
Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan (kanan) berbual dengan Ashri Haya (kiri), dalam pertemuan khas pada Upacara Konvokesyen ke-59 USM, hari ini. - Foto IHSAN USM

GEORGETOWN: Bantuan yang dianggap kecil oleh seorang kontraktor perkhidmatan cucian ternyata besar nilainya hingga diundang menemui pengurusan tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Ashri Haya, 50, dijemput ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM sebagai menghargai jasanya membawa graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, R Kevin, 28, yang terperangkap dalam kesesakan di Jambatan Pulau Pinang ke USM.

Bagi Ashri, apa yang berlaku hanya satu kebetulan dan tidak menyangka bantuan kecil itu mendapat perhatian ramai.

Beliau menumpangkan Kevin yang terlewat ke majlis konvokesyen USM baru-baru ini susulan kesesakan teruk akibat kemalangan di Jambatan Pulau Pinang.

Ketika itu, Ashri dalam perjalanan ke tempat kerja dan sering menyelia kerja pencucian di USM.

"Waktu itu memang sesak luar biasa, malah ada pengguna jalan raya bersarapan dalam kereta, keluar dari kenderaan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau kemudian terlihat graduan itu terdesak mendapatkan pertolongan kerana cuba menahan penunggang motosikal.

"Saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM dan terus memintanya membonceng kerana faham keadaannya yang panik.

"Selepas tiba di USM, saya menyambung kerja seperti biasa hinggalah esoknya apabila rakan kerja menunjukkan berita mengenai kisah itu yang mendapat liputan meluas," katanya.

Terdahulu, Ashri berkesempatan bertemu pengurusan tertinggi USM dan amat terharu dengan penghargaan diterimanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, berkata USM menghargai jasa Ashri dalam membantu graduannya.

"Ia mungkin dianggap kecil, namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan ketika ada insan sangat memerlukan perlu dicontohi semua pihak," katanya.

Pada 24 Mei lalu, gambar Kevin mencuba nasib menahan motosikal berikutan terlewat menghadiri konvokesyen USM tular sebelum ditumpangkan oleh Ashri.

Kesesakan berlaku berikutan kemalangan maut membabitkan lori tiga tan dengan treler, yang mengorbankan pemandu dan kelindan lori di KM8.6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Prai menghala ke Gelugor kira-kira jam 5 pagi.

-Sumber daripada Berita Harian Online

 

  • Created on .
  • Hits: 397

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024