ANGKASA-X SASAR STESEN BUMI BERNILAI RM30 JUTA WUJUDKAN EKOSISTEM TEKNOLOGI ANGKASA PULAU PINANG
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2082581
19/05/2022 05:10 PM
NIBONG TEBAL, 19 Mei (Bernama) -- Angkasa-X Holdings Corp berharap satu ekosistem teknologi angkasa dapat diwujudkan di sini sebaik sahaja Ladang Stesen Bumi bernilai RM30 juta dan Pusat Teknologi Angkasa tercanggih siap menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Dr Sean Seah berkata Ladang Stesen Bumi itu yang akan berfungsi sebagai tapak penerimaan satelit yang dirancang dilancarkan tahun depan manakala Pusat Teknologi Angkasa akan digunakan sebagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi teknologi penyelesaian, serta sebagai tempat pemasangan, integrasi dan pengujian satelit orbit bumi rendah.
"Satelit yang kami bina dan lancarkan adalah komponen huluan, manakala komponen hiliran ialah stesen bumi dan pembangunan aplikasi," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan yang berkemungkinan menggunakan data satelit termasuk kawalan kualiti udara, pengesanan kapal, dan pengurusan banjir serta bencana.
Seah berkata Angkasa-X juga sedang berusaha untuk bekerjasama dengan syarikat ‘berkaitan angkasa’ yang berpangkalan di Pulau Pinang bagi membekalkan komponen untuk digunakan dalam satelitnya.
“Kami menyasarkan untuk melancarkan dua urutan satelit. Pelancaran pertama adalah untuk penderiaan jauh yang kami sasarkan untuk dilancarkan dalam masa dua hingga empat tahun. Kami juga melancarkan satelit komunikasi kami dari 2024 hingga 10 tahun akan datang,” tambahnya.
Kedua-dua kemudahan itu akan dibina di dalam kawasan kampus kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) yang diperuntukkan oleh universiti seluas 0.81 hektar.
Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata pusat itu juga akan menyediakan kemudahan asas kepada pelajar dan profesional untuk menimba pengalaman secara fizikal dalam R&D satelit.
“Kerjasama antara kedua-dua pihak ini juga akan membolehkan pembangunan kursus kejuruteraan profesional ‘yang pertama seumpamanya’ di Asia ditawarkan kepada calon pasca siswazah USM untuk membina keupayaan teknikal, kemahiran dan pengalaman mereka.
“Kursus profesional ini akan dijalankan dengan kerjasama rakan kongsi swasta yang akan menyediakan bahan latihan,” tambahnya.- BERNAMA
-Sumber daripada Bernama Online
- Created on .
- Hits: 388