KURNIAAN PINGAT, BAKAR SEMANGAT PENERIMA DARJAH KEBESARAN PERLIS UNTUK TERUS BERBAKTI
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2081726
17/05/2022 05:17 PM
ARAU, 17 Mei (Bernama) -- Kurniaan anugerah darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-79 dianggap menjadi pembakar semangat dalam kalangan penerima untuk terus menabur bakti kepada rakyat negeri itu.
Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dianugerahi Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri, menzahirkan rasa bangga di atas kurniaan berkenaan.
Beliau berkata penganugerahan itu memberikan semangat untuk beliau terus menabur bakti kepada negeri Perlis, selain menjaga imej sebagai penerima darjah kebesaran.
"Seperti titah Tuanku Syed Sirajuddin, saya mengharapkan supaya rakan penerima anugerah yang lain dapat menjaga intergriti mereka dan tidak mencemarkan kurniaan itu.
"Ini bukan sahaja bagi memastikan penerima anugerah kekal bertingkah laku baik, malah ia adalah tuntutan masyarakat kita secara keseluruhan," katanya kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-79 di Istana Arau di sini, hari ini.
Sementara itu Pengarah Prima Group Sdn Bhd Tan Sri Mohd Ariffin Mohd Yusuf berkata beliau amat berbesar hati apabila sumbangannya kepada negeri Perlis selama ini mendapat penghargaan menerusi penganugerahan Darjah SPMP itu.
Menurutnya beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan menyumbang kepada pembinaan beberapa masjid di negeri itu bersama kumpulan yang terdiri daripada ahli keluarganya.
"Bersama adik-beradik yang lain, kami pernah menyumbang kepada pembinaan Masjid Al Husin, Kuala Perlis yang sinonim dengan panggilan masjid terapung. Apa yang kita usahakan melalui pembinaan masjid ini bukan kerana ingin mendapat pengiktirafan, sebaliknya hanya kerana Allah semata-mata," katanya.
Selain itu Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Azman Mohd Yusof berkata penganugerahan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk, menjadi pemangkin buat dirinya untuk terus memberi sumbangan dan perkhidmatan terbaik kepada negeri itu.
Beliau yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata sumbangannya dalam pentadbiran kerajaan negeri adalah hasil sokongan banyak pihak termasuk rakyat.
"Saya percaya Perlis akan terus maju kerana kita ada jentera kerajaan negeri yang baik dan mampu meneruskan pembangunan di sini," katanya.- BERNAMA
-Sumber daripada Bernama Online
- Created on .
- Hits: 471