USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

IPPT USM UNIVERSITI PERTAMA MILIKI PERPUSTAKAAN METAVERSE SPACE

https://www.bernama.com/bm/wilayah/news.php?id=2076799

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamad Adikan menggunakan peralatan Metaverse Space Library@IPPT di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) selepas melancarkan konsep tersebut di IPPT Bertam di sini hari ini. Hadir sama ketua projek Metaverse Space Library@IPPT, Hasniza Amno (kanan). Konsep Metaverse mempunyai potensi yang sangat luas dalam aspek pendidikan. Metaverse boleh menjadi platform pembelajaran dan pengajaran yang merangkumi semua maklumat dan hiburan bersepadu dalam dunia virtual tiga dimensi.
 
28/04/2022 07:09 PM

KEPALA BATAS, 28 April (Bernama) -- Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia menjadi universiti pertama di negara ini mempunyai Perpustakaan Metaverse Space yang menawarkan pelbagai persekitaran digital yang tersambung kepada dunia maya tanpa komputer.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata pihaknya memperkenalkan konsep metaverse iaitu realiti maya (VR) kepada warga universiti itu kerana ia semakin mendapat tempat dalam arus perdana teknologi dan mempunyai potensi yang sangat luas.

"Dalam aspek pendidikan, metaverse boleh jadi platform pembelajaran dan pengajaran yang merangkumi semua maklumat serta hiburan bersepadu dalam dunia maya tiga dimensi (3D) dan USM mendepani kemajuan teknologi dalam revolusi pendidikan alaf baru.

"Untuk memasuki dunia metaverse, setiap orang memerlukan peranti khusus seperti set VR dan ketika ini perpustakaan IPPT dengan kerjasama bahagian teknologi maklumat telah membangunkan sebuah sistem dalaman dalam talian yang dikenali sebagai VR Discovery yang merupakan Sistem Pengurusan Data 3D.

"Menerusi sistem dalaman itu, ia dapat melakukan transformasi bahan sumber maklumat perpustakaan seperti bahan berbentuk imej, model anatomi, buku elektronik, dokumen dan lain-lain dalam format tiga dimensi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian perpustakaan itu di IPPT USM di sini hari ini.

Faisal Rafiq berkata bahan sumber maklumat tersebut kemudiannya dipaparkan secara automatik ke dalam web portal yang dinamakan GoVR untuk capaian maklumat berformatkan tiga dimensi yang lebih interaktif oleh pengguna seterusnya keunikan projek itu adalah dengan meneroka dan membawa dunia realiti maya kepada web Portal GoVR menggunakan fon kepala.

Beliau inisiatif itu dikenali sebagai WebVR yang bertujuan membolehkan pengguna perpustakaan mengalami kehebatan teknologi imersif realiti maya dalam kempen bahan sumber maklumat perpustakaan dan ia meningkatkan lagi kualiti serta keberkesanan pengajaran dan latihan yang dilakukan di USM.

Sementara itu, Ketua Projek tersebut Hasniza Amno berkata projek Metaverse Space di IPPT bertujuan memberi perkhidmatan yang berimpak tinggi dan berlainan daripada perkhidmatan konvensional sedia ada melalui platform realiti maya tiga dimensi yang lebih kreatif dan inovatif.

"Ia juga sebahagian daripada pelaksanaan konsep didik hibur di dalam perpustakaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran imersif dengan pelajar berada dalam satu suasana pembelajaran yang interaktif secara maya," katanya. - BERNAMA

-Sumber daripada Bernama Online

  • Created on .
  • Hits: 378

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024