USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

KITA GIAN MAKAN GARAM!

https://www.hmetro.com.my/utama/2022/03/821080/kita-gian-makan-garam

Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Samadi Ahmad

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

PENGAMBILAN garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi yang jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta angin  ahmar.
PENGAMBILAN garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi yang jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta angin ahmar.

Kuala Lumpur: Seorang rakyat Malaysia dianggarkan mengambil 1.6 sudu atau 7.9 gram (g) garam sehari sekali gus melebihi lima gram sehari seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengambilan garam berlebihan ini bukan sahaja mengundang penyakit darah tinggi, malah ia turut menjadi penyumbang kepada serangan strok dan kegagalan buah pinggang.

Perunding Kanan Kesihatan Awam dan Epidemiologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah berkata, makanan bergaram sememangnya sinonim dengan masakan di negara ini namun kegagalan mengawal kuantiti pengambilan boleh memberi implikasi kesihatan kepada individu.

Menurutnya, darah tinggi adalah penyakit sinonim yang sering dikaitkan dengan pengambilan garam berlebihan namun tidak ramai menyedari ia boleh memberi implikasi lebih besar kepada kesihatan.

"Apabila seseorang menghidap darah tinggi akibat pengambilan garam berlebihan, dia perlu sedar risiko diserang strok dan kegagalan buah pinggang semakin tinggi.

"Dua penyakit ini berkait rapat apabila tekanan darah seseorang berada pada tahap tidak normal dan ia memberi kesan kepada saluran darah serta buah pinggang," katanya kepada Harian Metro.

Dr Mohamed Rusli berkata, sikap ambil ringan khususnya dalam diet seharian dan gaya hidup boleh membuka ruang lebih besar kepada seseorang mengidap penyakit darah tinggi.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung boleh menyebabkan fasiliti kesihatan negara juga boleh terbeban apabila ramai pesakit yang memerlukan rawatan khusus.

"Rakyat Malaysia perlu sedar kepentingan menjaga pemakanan yang seimbang dan sihat agar kesihatan tidak terjejas ditambah dalam keadaan negara masih dilanda wabak (Covid-19)," katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Dr Habib Bakri Mamat berkata, garam boleh menjadi punca penyakit yang akhirnya menjejaskan produktiviti seseorang dalam aktiviti harian.

Katanya, kos rawatan bulanan boleh mencecah sehingga RM700 jika pesakit memerlukan lima jenis ubat berbeza hanya untuk mengawal darah tinggi disebabkan pengambilan garam berlebihan.

"Kos akan meningkat sehingga RM1,000 hingga RM2,000 apabila mereka disahkan mengalami strok dan kegagalan buah pinggang sekali gus memerlukan rawatan khusus.

"Keadaan ini boleh meningkatkan kos perubatan bukan saja kepada individu, malah negara kerana harga ubat yang diperlukan tinggi terutamanya bagi fasiliti perubatan swasta," katanya.

Ambil tak lebih satu sudu teh sehari

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru orang ramai meningkatkan tahap kesihatan dengan mengubah tabiat pengambilan garam dalam pemakanan harian.

Menerusi Facebook rasmi KKM bersempena Minggu Kesedaran Garam bermula hingga 20 Mac hadapan, KKM menyeru pengguna menghadkan pengambilan garam tidak melebihi lima gram atau satu sudu teh sehari.

KKM berkata, menurut kajian Malaysian Community Salt Study (MyCoSS) 2017/2018, tahap pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi iaitu pada kadar purata 7.9 gram atau 1.6 sudu teh sehari, melebihi saranan lima gram sehari oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi, yang jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta penyakit angin ahmar.

Beberapa langkah mudah bagi mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian seperti mengenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate dan Monosodium Glutamate.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pengarah KKM,Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan Program Pengiodinan Garam Secara Universal yang berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Januari 2021.

IA sebagai salah satu intervensi kesihatan awam bagi mencegah dan mengawal masalah kesihatan akibat kekurangan iodin (IDD) dalam kalangan masyarakat.

Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang bertemakan 'Tak Masin Tu Ok! ' bermula semalam hingga 20 Mac ini antara lain menekankan kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat sebagai langkah pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Disiarkan pada: Mac 15, 2022 @ 12:00pm

-Sumber daripada Harian Metro Online

  • Created on .
  • Hits: 475

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024