USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

WANITA DALAM STEM PERLU TAMPIL SEBAGAI CONTOH TELADAN

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/wanita-dalam-stem-perlu-tampil-sebagai-contoh-teladan-351694

Astro Awani

Mac 14, 2022 12:53 MYT

Wanita dalam STEM perlu tampil sebagai contoh teladan
Mustahak bagi wanita dalam bidang STEM lebih menonjolkan diri kepada orang ramai supaya dapat dilihat terutamanya oleh generasi muda. - Envato Elements/imagesourcecurated

KUALA LUMPUR : Daripada penemuan radioaktiviti oleh Marie Curie dan kajian penyelidikan DNA oleh Rosalind Franklin, sehinggalah kejayaan ahli astrofizik pertama Malaysia, Profesor Emerita Tan Sri Mazlan Othman mempelopori penyertaan negara dalam penerokaan angkasa lepas; catatan sejarah penuh dengan wanita-wanita yang memberikan sumbangan besar dalam bidang sains.

Bagaimanapun, menurut data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kurang daripada 30 peratus penyelidik di seluruh dunia adalah wanita dan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih bidang yang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat pengajian tinggi.

Bagi meningkatkan penglibatan wanita dan pelajar perempuan dalam STEM, Profesor Madya Institut Penyelidikan dalam Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia, Dr Oon Chern Ein menekankan kepentingan peranan model kepimpinan wanita untuk dijadikan inspirasi.

"Apabila berdepan dengan cabaran, kita lebih cenderung merujuk kepada contoh teladan yang sedia ada untuk mendapat nasihat dan inspirasi agar dapat maju dalam kerjaya", kata Chern Ein yang telah banyak menerima anugerah untuk penyelidikannya dalam terapi sasaran molekul untuk kanser, selain dinobatkan anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science National Fellowship yang berprestij pada 2015.

Pensyarah Utama Sekolah Pengkomputeran, Kejuruteraan & Teknologi Digital, Teesside University, di UK, Dr Sam Gooneratne, menambah, adalah mustahak bagi wanita dalam bidang STEM lebih menonjolkan diri kepada orang ramai supaya dapat dilihat terutamanya oleh generasi muda. Ini menjadikan mereka lebih mudah dikenal pasti khususnya apabila perlu dihubungi untuk bimbingan atau nasihat.

"Kita perlu menunjukkan berapa ramai sebenarnya antara kita yang ada di luar sana agar ia menjadi sesuatu yang normal - bahawa terdapat wanita dalam STEM dan ramai antara kita yang aktif berkecimpung dalam bidang ini," katanya.

Penglibatan dan pencapaian wanita dalam STEM perlu ditonjolkan kepada masyarakat. - Gambar fail
Penglibatan dan pencapaian wanita dalam STEM perlu ditonjolkan kepada masyarakat. - Gambar fail

Kepimpinan wanita

Kedua-dua Chern Ein dan Sam berkata demikian dalam webinar bertajuk Raikan Perbezaan: Wanita dalam webinar STEM 2022, sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mereka adalah sebahagian daripada panel tujuh tetamu jemputan dari Malaysia dan United Kingdom yang berkongsi tentang perjalanan dan pengalaman mereka dalam kerjaya STEM.

Anjuran bersama British Council, Science Media Centre (SMC) Malaysia dan The Petri Dish, webinar itu bertujuan menampilkan contoh kepimpinan wanita dalam STEM dan mendedahkan peluang pengajian dalam bidang STEM. Sesi dalam talian selama satu jam itu dikendalikan oleh Pengasas Bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin. Rata-rata ahli panel juga menekankan keperluan untuk penglibatan lebih ramai wanita dalam STEM.

"Kami perlukan lebih ramai wanita dalam STEM untuk menolak mitos bahawa 'wanita secara genetiknya tidak mampu menyumbang kepada STEM'," kata Dr Dalia Chakrabarty, pensyarah kanan statistik dari Brunel University London yang berjaya membangunkan kaedah statistik baharu dalam kajiannya mengenai jisim graviti lohong hitam dalam galaksi.

Webinar itu juga dianjurkan sempena pelancaran Biasiswa Wanita dalam STEM British Council untuk meneruskan pengajian dalam ijazah sarjana, atau ‘fellowship’ akademik awal, dalam program STEM di universiti-universiti terkemuka di UK.

Penerima biasiswa semasa, Debbie Ann Loh, berpandangan bahawa apabila wanita muda memasuki bidang STEM, mereka sekali gus menjadi simbol pemerkasaan bagi generasi akan datang.

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bioteknologi Negara, Prof Datuk Raha Abdul Rahim berkongsi bahawa pengalaman belajar di luar negara telah menyumbang kepada pembangunan peribadi serta profesional yang membolehkan beliau mengunapakai pengetahuan akademik dan kemahiran praktikal dalam kehidupan sebenar.

"Pengalaman saya di UK telah membuka minda saya untuk berfikir di luar kotak. Sekembalinya saya ke tanah air, saya menjadi seorang individu yang lebih baik daripada sebelum saya sambung belajar di luar negara," katanya.

Pendedahan global

Turut serta dalam panel tetamu khas berkenaan adalah wakil daripada universiti-universiti yang mengambil bahagian dalam program biasiswa itu, iaitu Pro-Naib Canselor, Fakulti Sains, Liverpool John Moores University, Prof Laura Bishop dan Pensyarah Kanan Mikrobiologi, Edinburgh Napier University, Profesor Madya Dr Sophie Foley yang turut senada bahawa ijazah pascasiswazah di UK mampu menambah nilai pengalaman pelajar dari segi kebolehpasaran dan pendedahan global. Universiti-universiti lain di UK yang turut terlibat termasuk Brunel University, Teesside University, University of Glasgow dan University of York.

Seramai 15 pelajar termasuk empat orang dari Malaysia mengembara ke UK tahun lalu untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana mereka dalam subjek STEM. Mereka merupakan sebahagian daripada kohort pertama Biasiswa Wanita dalam STEM British Council. Tahun ini, untuk tahun kedua berturut-turut, bilangan biasiswa yang ditawarkan di Asia Tenggara meningkat dua kali ganda. Sebanyak 29 biasiswa daripada enam universiti UK ditawarkan untuk calon-calon pelajar dari Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Penerima anugerah biasiswa akan mendapat sokongan kewangan secara komprehensif termasuk yuran pengajian, elaun bulanan, visa, kos perjalanan dan perlindungan kesihatan dengan sokongan khas untuk ibu.

-Sumber daripada Astro Awani Online

  • Created on .
  • Hits: 508

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024