KIT UJIAN KENDIRI MASIH DIPERLUKAN, KATA PAKAR KESIHATAN
Danial Azhar 4 days ago
PETALING JAYA: Kerajaan diminta tidak menasihatkan orang ramai untuk tidak lagi menggunakan kit ujian kendiri Covid-19, kata pakar kesihatan.
Walaupun kit ujian kendiri RTK-antigen (RTK-Ag) tidak setanding dengan ketepatan ujian RT-PCR (PCR), Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, keputusan boleh diperolehi lebih cepat ketika pandemik ini pantas merebak.
“Memandangkan kita akan beralih ke fasa endemik tidak lama lagi, ujian kit kendiri RTK-Ag diperlukan untuk pengesanan dan pengasingan pantas, terutamanya apabila berhadapan dengan gelombang varian Omicron semasa dan varian masa hadapan,” katanya kepada FMT.
Awal minggu lalu, Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) memberitahu Dewan Rakyat bahawa penggunaan kit ujian kendiri RTK-Ag adalah satu pembaziran sedangkan keputusannya tidak tepat seperti ujian PCR.
“Jika ujian kendiri itu tidak tepat, maka lebih baik kerajaan berhenti menasihati orang awam supaya menggunakannya.
“Ini sangat merugikan pengguna dari segi kesan dan kos perbelanjaan,” katanya.
Mengulas perkara itu, Yii berkata, pemahaman Che Abdullah tidak tepat mengenai epidemiologi dan kawalan penyakit berjangkit.
“Matlamatnya (kit ujian kendiri) adalah untuk mengesan mereka yang berjangkit dan segera campur tangan untuk meminimumkan penyebaran virus itu,” katanya, selain menyatakan bahawa ujian kendiri RTK-Ag yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Kementerian Kesihatan umumnya mempunyai sensitiviti melebihi 90% dalam mengesan Covid-19.
Yii berkata, walaupun terdapat kebimbangan sebenar tentang ketepatan kit ujian kendiri, kerajaan sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pemantauan dan penguatkuasaan berterusan. Ini akan memastikan produk yang terdapat di pasaran memenuhi piawaian yang diperlukan.
Bagi mengurangkan kemungkinan keputusan negatif palsu, Yii menasihatkan orang ramai supaya mengulangi ujian ke atas kit daripada pengeluar berbeza, terutamanya jika mereka mengalami gejala.
Beliau kemudian menggesa kerajaan supaya mengurangkan harga kit RTK-Ag kepada bawah RM5 kerana ujian kendiri akan menjadi kebiasaan semasa peralihan kepada fasa endemik.
Sementara itu, pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Amir Yunus berkata, menjadi kesalahan jika kerajaan mengabaikan peranan kit ujian kendiri.
“Ujian PCR, yang merupakan piawaian emas, jauh lebih mahal. Tetapi kit ujian kendiri menawarkan pilihan yang lebih berpatutan untuk orang ramai.”
Beliau berkata, walaupun pengeluar kit yang berbeza mungkin mempunyai variasi dalam sensitiviti produk mereka, orang ramai mesti sedar bahawa ketepatan keputusan ujian juga bergantung pada seberapa baik pengguna sendiri mengumpul sampel mereka.
Amir menggesa mereka yang mempunyai gejala untuk terus menggunakan kit ujian diri dan mengasingkan diri, tanpa mengira keputusan, demi kepentingan kesihatan awam.
-Sumber daripada MSN News Online
- Created on .
- Hits: 389