NYAHGARAM AIR LAUT BOLEH ATASI MASALAH BEKALAN, PAKAR BERITAHU P PINANG
Predeep Nambiar 5 days ago
GEORGE TOWN: Penyelesaian bagi Pulau Pinang untuk memenuhi permintaan bekalan air dalam dekad-dekad akan datang terletak pada laut, bukan negeri jiran, kata pakar.
Profesor sumber air di Universiti Sains Malaysia, Chan Ngai Weng berkata, walaupun negeri itu mempunyai rancangan untuk meningkatkan bekalan air dari darat, laut adalah perbatasan seterusnya.
“Pulau Pinang perlu bergerak pantas untuk memperoleh air yang dinyahgaram untuk keselamatan air kita. Kita perlu mencorak nasib sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain. Kita tiada pilihan selain laut,” kata Chan kepada FMT.
Baru-baru ini, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menolak cadangan pembelian air oleh Pulau Pinang dengan berkata, penduduk Perak memerlukan air itu. Kerajaan Perak sebelum ini bersetuju memindahkan air ke Pulau Pinang, tetapi dalam bentuk air terawat pada kadar 70 sen bagi setiap 1,000 liter.
Penggunaan air Pulau Pinang kekal tertinggi di negara ini dengan penggunaan per kapita sebanyak 305 liter sehari tahun lepas, mengatasi purata nasional sebanyak 226 liter.
Secara keseluruhan negeri itu menggunakan 860 juta liter sehari (JLH) tahun lepas dengan permintaan dijangka meningkat hampir dua kali ganda kepada 1,532 JLH pada 2030, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Chan berkata, pemerolehan air dari negeri lain mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam jangka masa panjang kerana masing-masing mempunyai keperluan air mereka sendiri dan keperluan menetapkan harga air pada masa hadapan boleh menjadi masalah.
Katanya, wujud juga prospek pertembungan ideologi politik kerana negeri-negeri terbabit mungkin ditadbir oleh parti yang berbeza.
Beliau berkata, penyahgaraman dilakukan di banyak negara dan Pulau Pinang harus mengambil Singapura sebagai contoh.
Kerajaan Pulau Pinang pernah mencadangkan untuk membina loji penyahgaraman sebelum ini tetapi ia bukanlah keutamaan kerana kosnya yang tinggi.
Chan berkata, selain penyahgaraman, Pulau Pinang harus segera menggerakkan pelan kontingensinya untuk keselamatan air lebih awal daripada yang dijadualkan.
Pelan itu termasuk meningkatkan kapasiti loji rawatan air (LRA) sedia ada, membina LRA baharu dan mengambil air dari Sungai Perai.
Projek-projek itu dijadualkan siap menjelang 2028, menurut PBAPP.
Chan berkata, 1.77 juta rakyat Pulau Pinang mesti dilatih menjimatkan air dan pengguna utama seperti hotel dan kilang mesti disyaratkan membina loji kitar semula, menggunakan semula air daripada penyaman udara dan mewujudkan loji penuaian air hujan.
“Tarif air sekurang-kurangnya perlu berada pada tahap pemulihan kos,” katanya.
“Subsidi tarif air harus dimansuhkan. Sekadar menambah bekalan air tidak berguna jika pengguna terus membazir air. Rekod menunjukkan permintaan air meningkat lebih cepat daripada bekalan.”
-Sumber daripada MSN News Online
- Created on .
- Hits: 445