USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

MENYEGARKAN PERKHIDMATAN AWAM TUNTUT TINDAKAN SISTEMATIK

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/02/925916/menyegarkan-perkhidmatan-awam-tuntut-tindakan-sistematik

Oleh Dr Musa Ali - Februari 23, 2022 @ 10:45am
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Foto hiasan.Foto hiasan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dalam amanat sulungnya baru-baru ini menggariskan beberapa inisiatif bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Terdapat empat fokus utama diberi tumpuan, pertama: menyegarkan semula penjawat awam; kedua: landskap baharu organisasi awam; ketiga: perkhidmatan awam kalis masa hadapan (future proof ) dan keempat, iaitu bergerak bersama ke hadapan.

Mohd Shafiq menjelaskan, untuk fokus 'menyegarkan semula penjawat awam', perkhidmatan awam perlu mempunyai daya ketahanan tinggi, anjal, tangkas dan berinovasi.

Sifat ini pula didasarkan kepada nilai integriti tinggi, berpaksi kepada rakyat dan berfikiran realistik serta sentiasa bersedia menyelesaikan pelbagai masalah merentas kementerian dan agensi.

Justeru, amalan ini katanya, akan dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam serta meningkatkan kepercayaan rakyat.

Perkhidmatan awam juga jelasnya perlu dinamik dan tidak rigid, di samping memanfaatkan perkembangan teknologi semasa seperti platform digital selaras dengan inisiatif MyDigital.

Dalam fokus kedua, agensi awam perlu meneliti dan mengkaji dari segi struktur dan fungsi bagi memastikan tiada pertindihan.

Bermakna, ketua jabatan perlu sentiasa meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa bagi memastikan organisasi sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang.

Fungsi yang tidak lagi relevan hendaklah dijumudkan. Di samping itu, pembangunan

pekeliling dan peraturan perlu dilaksanakan dengan lebih berhemah dan menyeluruh,

dengan mengambil kira input dan pandangan, terutama daripada pemegang taruh.

Pekeliling dan peraturan sedia ada perlu segera dikaji semula bagi memastikan ia sesuai dilaksanakan dalam perspektif semasa.

Dalam fokus ketiga, iaitu perkhidmatan awam kalis masa hadapan, penjawat awam hendaklah bersiap siaga dan membuat persediaan menerusi penyampaian perkhidmatan holistik dan kalis masa hadapan yang penuh cabaran.

Untuk mencapai matlamat ini, perkhidmatan awam perlu menjalin kerjasama daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak berkepentingan dalam masyarakat.

Dalam konteks ini Mohd Shafiq menganjurkan supaya konsep modal sosial (social

capital) perlu diterapkan penggunaannya serta dibudayakan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama sedia ada dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Fokus ke empat ialah bergerak bersama ke hadapan yang membawa maksud perkhidmatan

awam perlu bersifat dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat serta negara.

Perkhidmatan awam perlu bersama-sama membangunkan negara ke arah masa hadapan

lebih cemerlang dalam melakukan lonjakan berganda terhadap ekonomi dan kesejahteraan negara ini.

Dalam konteks ini penjawat awam adalah pemangkin transformasi. Jika wujud sikap tidak peduli terhadap kepentingan melaksanakan perubahan atau transformasi, penyampaian perkhidmatan awam akan terjejas dan sebenarnya culas melaksanakan amanah.

Dalam hal ini, penjawat awam perlu berganding bahu memastikan imej cemerlang

perkhidmatan awam dengan amalan budaya kerja berintegriti dan berprestasi tinggi.

Dari empat fokus digariskan Mohd Shafiq ini, ada dua perkara utama perlu diberi perhatian penjawat awam dan ketua jabatan agensi awam. Pertama, aspek pengurusan dan pembangunan bakat dalam perkhidmatan awam dan yang kedua, pengurusan dan struktur agensi awam.

Dalam konteks pengurusan dan pembangunan bakat, wawasan menyegarkan semula

per khidmatan awam memerlukan anggota perkhidmatan awam yang kompeten, berintegriti tinggi dan responsif kepada kehendak masyarakat dengan penggunaan teknologi digital yang tinggi dalam penyampaian perkhidmatan.

Oleh itu, usaha bersepadu perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kompetensi dalam kalangan penjawat awam sedia ada pada pelbagai peringkat perkhidmatan.

Jika ini dilakukan secara sistematik dan terancang, ia bukan sahaja meningkatkan

imej perkhidmatan awam, tetapi menyediakan perkhidmatan kalis masa hadapan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah aspek pengurusan dan struktur agensi awam itu sendiri. Kajian semula terhadap struktur dan fungsi agensi awam perlu dilaksanakan secara terancang supaya tiada lagi isu pertindihan fungsi antara agensi perkhidmatan awam.

Di samping itu, perhatian perlu diberikan kepada kaedah pembangunan dan pelaksanaan pekeliling serta peraturan sedia ada untuk memastikan segala pekeliling itu tidak ketinggalan zaman dan menjadi penghalang kepada kemajuan agensi.

Justeru, pembangunan sesuatu pekeliling perlu mengambil kira input daripada pihak

berkepentingan dalam ekosistem masyarakat yang menjadi penerima perkhidmatan.

Dalam kata lain, masyarakat perlu dilihat sebagai rakan strategik agensi awam untuk melaksanakan apa juga agenda penyampaian perkhidmatan.

Gagasan murni dan jelas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam baharu ini memerlukan tindakan susulan secara sistematik dan bersepadu daripada pelbagai pihak, termasuk anggota perkhidmatan awam pada pelbagai peringkat.

Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM)

-Sumber daripada Berita Harian Online

  • Created on .
  • Hits: 390

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024