PEMBANGUNAN AKAR UMBI HARUS SEIRING DENGAN INFRASTRUKTUR - HAMIDIN
Kuala Lumpur: Selain infrastruktur yang sempurna, pembangunan pemain yang sistematik perlu bermula dari peringkat akar umbi sebelum digilap sebagai aset negara.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan pembangunan akar umbi yang mantap serta berkesan haruslah seiring dengan infrastruktur yang baik.
"Kunci kepada kejayaan bola sepak negara bermula di peringkat negeri dengan fasiliti yang baik dan mampu menampung pelbagai program akar umbi termasuk liga tempatan," katanya menerusi kenyataan media di laman Facebook FAM selepas beliau merasmikan Mini Stadium Kopa Arena di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, hari ini.
Katanya, padang sintetik ini membabitkan kos pelaburan keseluruhan hampir RM5.5 juta dimiliki oleh syarikat yang terbabit dalam menguruskan padang sintetik serta penganjuran liga dan akademi bola sepak, Kopa Arena.
"Kerjasama antara pihak swasta dan universiti seperti ini ialah inisiatif baik yang wajar dicontohi.
"Langkah bijak seperti ini mampu merancakkan lagi program bola sepak di peringkat universiti.
"Dengan adanya akademi bola sepak seperti yang diusahakan Kopa Arena dapat menyumbang kepada perintis aset negara yang mana pemain-pemain ini boleh disalurkan ke akademi elit seperti Akademi Mokhtar Dahari, Sri Pahang dan Akademi JDT," tambah Hamidin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kopa Arena, Farouk Hashim berkata, Kopa Arena bakal menjadi pentas akar umbi dan penganjuran di peringkat rekreasi dan pembangunan.
"Dengan sokongan daripada FAM dan USM pastinya kami akan mampu menyumbang bakat muda ke pentas lebih tinggi," kata Farouk.
Disiarkan pada: Februari 20, 2022 @ 9:09pm
-Sumber daripada Harian Metro Online
- Created on .
- Hits: 355