USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

HAMDANWAHID, YEE VOON DINOBAT OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI MASUM 2019

https://www.astroawani.com/berita-sukan/hamdanwahid-yee-voon-dinobat-olahragawan-dan-olahragawati-masum-2019-346169

Bernama
Februari 11, 2022 10:00 MYT
Hamdanwahid, Yee Voon dinobat Olahragawan dan Olahragawati Masum 2019
Atlet taekwondo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Hamdanwahid Rinaldi (kanan) dan atlet karate Universiti Sains Malaysia (USM) Khaw Yee Voon dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati MASUM 2019. - Foto BERNAMA

MELAKA: Atlet taekwondo Hamdanwahid Rinaldi dan atlet karate Khaw Yee Voon dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2019 dalam satu acara yang berlangsung di sini malam tadi.

Hamdanwahid dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang memenangi gangsa bersama pasukannya pada kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) Ke-30 di Napoli, Itali mengetepikan atlet menembak Mohamad Lutfi Othman dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Yee Voon, pemenang pingat perak acara kata berpasukan wanita pada Sukan SEA Filipina 2019 menewaskan atlet memanah Iman Aisyah Narazam dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA).

Kedua-duanya menerima anugerah yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan.

Hamdanwahid, 22, yang ditemui selepas majlis itu berkata beliau tidak menyangka terpilih sebagai penerima anugerah berkenaan terutamanya selepas pandemik COVID-19 yang melanda dalam tempoh dua tahun ini.

"Sepanjang tempoh itu saya hanya melakukan latihan dan memulihkan kecederaan kerana tiada sebarang pertandingan yang dapat disertai dan selepas ini sasaran saya ialah untuk menyertai Sukan SEA Vietnam 2021, jika layak saya akan memberikan yang terbaik," katanya.

Bagi Yee Voon, 27, yang berkongsi perkara sama berkata beliau juga amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan melalui anugerah itu yang telah ditunda selama dua tahun.

Sementara itu, anugerah Bintang Harapan Lelaki dimenangi rakan sepasukan Hamdanwahid iaitu Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala Khairunnisa Nazri (bola jaring) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.

Sebanyak 11 anugerah turut disampaikan antaranya atlet terbaik universiti, pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita serta jurulatih dan pegawai yang sentiasa berjuang membangunkan industri sukan.-- BERNAMA

-Sumber daripada Astro Awani Online

  • Created on .
  • Hits: 367

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024