USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

IMPAK PANDEMIK PERKASA PENDIDIKAN PENTERJEMAH

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2049769

07/02/2022 09:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr. Anis Shahirah Abdul Sukur dan Dr. Siti Suriani Othman

Penularan COVID-19 di negara ini dan di seluruh dunia bagaikan belum berpenghujung. Kita dapat lihat banyak peristiwa penting seakan-akan tenggelam kerana hampir semua daripada kita menumpukan perhatian terhadap pandemik dan usaha mengurangkan tekanan akibat daripadanya.

Namun, masih wujud golongan yang rutin kerjanya boleh dikatakan tidak terganggu akibat COVID-19. Malahan permintaan terhadap hasil kerjanya semakin bertambah dan meningkat. Golongan yang dimaksudkan ialah penterjemah. Mereka ialah individu belakang tabir yang bertungkus-lumus dalam menyalurkan maklumat dan menyediakan hiburan dalam pelbagai bahasa.

Sama ada secara sedar atau tidak, kita semua menggunakan perkhidmatan penterjemah dalam kehidupan seharian. Individu dewasa yang terbatas pergerakannya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencari maklumat dengan membaca bahan dalam medium pelbagai bahasa. Agensi berita seperti BERNAMA misalnya menawarkan berita dalam beberapa versi bahasa untuk memenuhi keperluan pembaca daripada pelbagai kaum.

Selain itu, kanak-kanak dan orang dewasa menonton televisyen sebagai sumber hiburan. Rancangan televisyen yang ditayangkan dalam bahasa asing pula mempunyai sari kata. Realitinya bahan bacaan dan sari kata dalam beberapa versi bahasa ini tidak muncul secara tiba-tiba. Wujud individu yang menterjemahkan bahasa asing ke dalam bahasa Melayu dan sebaliknya. Individu dwibahasa ini dikenali menerusi gelaran pekerjaan sebagai penterjemah.

Proses Rumit Lagi Sukar

Penterjemah yang mahir mampu untuk menyampaikan mesej dalam suatu bahasa ke bahasa lain dengan baik. Pada masa yang sama, penterjemah ini cakna dengan budaya, makna tersirat serta aspek teknikal medium. Kegagalan dalam menterjemah turut bermaksud kendala dalam usaha menyampaikan mesej dan halangan dalam proses berkomunikasi.

Oleh itu, kerjaya sebagai penterjemah tidak wajar dianggap sebagai kerjaya sampingan atau kerjaya kelas kedua sebagaimana yang dianggap oleh sesetengah individu. Terjemahan juga kurang sesuai dilabelkan sebagai tugasan mudah yang mampu dilakukan oleh semua individu dwibahasa.

Hakikatnya, proses menterjemah merupakan aktiviti kognitif yang kompleks. Seawal membaca dan mengenal pasti makna perkataan, satu demi satu kemahiran berfikir diaplikasikan bagi menghasilkan produk terjemahan yang berkualiti.

Oleh itu, bidang terjemahan tidak wajar dipinggirkan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Terdapat universiti awam seperti Universiti Sains Malaysia dan universiti swasta di Malaysia yang menawarkan ijazah dalam bidang terjemahan. Terjemahan juga harus dilihat sebagai satu bidang ilmu penting yang berupaya untuk membawa sesebuah negara ke arah kemajuan intelek sebagaimana Jerman, Sepanyol, Perancis dan Jepun yang diiktiraf UNESCO sebagai antara 50 negara tertinggi dalam penterjemahan buku.

Dalam hal ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) memainkan peranan penting dalam dunia akademik dan industri terjemahan negara. Selain menterjemah, pelbagai kursus ditawarkan mengikut tempoh masa yang tertentu serta dengan yuran pendaftaran yang berpatutan.

Memperkasa Bakat Penterjemah

Memandangkan penterjemah ialah individu yang bekerja secara bebas, mereka boleh belajar dari rumah atau mana-mana sahaja tempat mengikut keselesaan. Golongan ini bekerja mengikut jam yang ditetapkan oleh klien di seluruh dunia, sekali gus penterjemah berpotensi untuk menjadi penuntut ilmu yang belajar mengikut jadual waktu yang anjal. Sekali lagi faktor ini menjadi kelebihan kerana pada era pandemik ini, banyak kursus pengajian di pusat pengajian tinggi yang memanfaatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Berkaitan itu, pengenalan microcredential (pensijilan mikro) dalam sistem pendidikan tinggi negara misalnya membolehkan para penterjemah menuntut ilmu khusus secara dalam talian. Menerusi inisiatif ini, modul disusun mengikut kemahiran mikro seperti asas terjemahan, strategi dan prosedur terjemahan, penilaian kualiti terjemahan dan proses berfikir sewaktu menterjemah. Oleh itu, ilmu yang disampaikan bersifat mikro, spesifik dan ekonomi apabila penterjemah membayar berdasarkan modul yang dipilih sahaja.

Di samping itu, penterjemah juga mempunyai kebebasan untuk mencorakkan resume masing-masing berdasarkan ilmu dan kemahiran spesifik yang dipelajari. Namun persoalannya, adakah para penterjemah di negara ini bersedia dengan inisiatif baharu ini? Mungkin ini adalah satu daripada potensi masa hadapan bagi bidang penterjemahan, yang nampaknya melangkah lebih laju di era pandemik ini. - BERNAMA

- Dr. Anis Shahirah Abdul Sukur merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

- Dr. Siti Suriani Othman merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

-Sumber daripada Bernama Online

  • Created on .
  • Hits: 422

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024