USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

GULA APONG SARAWAK ‘TAWAN’ PASARAN ARAB SAUDI

https://dagangnews.com/gula-apong-sarawak-tawan-pasaran-arab-saudi-12677

Gula apong Sarawak kini memasuki pasaran Arab Saudi menerusi pasar raya Kedai Asia.

KUALA LUMPUR 31 Jan - Ramai yang mengenali gula melaka dan menjadikannya sebahagian daripada diet harian. Tetapi tidak ramai yang mengenali gula apong yang merupakan manisan asli yang berasal dari Sarawak ini.

Pokok apong merupakan pokok nipah di dalam bahasa dialek Sarawak. Gula apong dihasilkan daripada air nipah yang diambil daripada perdu buah apong yang dipotong dan kemudiannya dihasilkan menjadi manisan asli melalui proses memasak.

Berbeza dengan gula melaka yang berasal daripada nira kelapa, gula apong berasal daripada nira pokok nipah.

Ia mempunyai tekstur yang halus, rasa kemanisan yang unik dan berkaramel serta sifat gula apong asli adalah dalam bentuk likatan.

Gula apong amat popular di Sarawak dan digunakan dalam pelbagai jenis masakan khususnya dalam pembuatan manisan tradisi.

Kini gula apong mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan dijadikan sebagai aiskrim atau pemanis mulut yang lain.

gula apong
Gula apong mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Sebenarnya gula apong mempunyai keunikan yang tersendiri dimana rasa manis daripada gula apong adalah amat berbeza dengan gula pasir biasa.

Gula apong amat sukar untuk didapati kerana hanya diusahakan secara tradisional oleh komuniti kampung di Sarawak menyebabkan harganya lebih tinggi berbanding gula biasa.

Bagaimanapun gula apong adalah menjadi elemen penting dalam masakan-masakan tradisi menyebabkan permintaan terhadap gula asli istimewa ini tidak pernah putus.

Melihat akan keistimewaan semulajadi Gula Apong dan potensi daya saing dalam ekonomi, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama TERAJU di bawah

Jabatan Perdana Menteri telah memperkenalkan inisiatif program 'Smart Community'.

Inisiatif ini bagi membantu dan memperkasakan komuniti kampung yang mengusahakan pengeluaran gula apong melalui pemindahan ilmu, teknologi, R&D, bimbingan dan penambahbaikan secara inklusif.

Apa yang lebih menarik dan meyakinkan di sini adalah, walaupun program ini diterajui oleh kumpulan dari latar belakang akademik, kaedah yang digunakan adalah luar konvensional.

Kayu ukur yang dibawa terhadap kejayaan projek ini adalah melalui janaan ekonomi yang dapat dicapai dan bukan sekadar kajian ilmiah dan kertas kerja semata-mata.

Hasil daripada penyelidikan dan pembangunan yang telah dilaksanakan bersama komuniti orang kampung di Sarawak, gula apong yang secara aslinya hanya dalam bentuk likatan pekat seperti pes telah dipelbagaikan dalam bentuk lain seperti kiub, butiran halus (granules) dan juga sirap.

Dengan kaedah ini selain daripada pembungkusan yang menarik sesuai dengan pasaran, gula apong berjaya dikomersilkan dan dieksport ke Arab Saudi.

gula apong
Kedai Asia yang diasaskan pada 2017 sehingga kini telah mengeksport lebih 1,000 jenis produk makanan halal.

Ini dilaksanakan melalui kerjasama rakan kongsi pemain industri bagi projek ini iaitu Husam Waksa Sdn. Bhd. menerusi pasar raya Kedai Asia di Jeddah, Arab Saudi.

Kedai Asia yang diasaskan pada 2017 sehingga kini telah mengeksport lebih 1,000 jenis produk makanan halal buatan Malaysia dan telah memberi manfaat kepada lebih 300 syarikat IKS Malaysia yang telah dipasarkan ke Arab Saudi.

Selain itu, gula apong juga akan dipasarkan ke pasaran pasaran lain di Arab Saudi melalui rangkaian pasar raya tempatan di sana serta pasaran runcit tradisional di sekitar Jeddah.

Pada masa sama, gula apong yang dihasilkan daripada program ini juga telah dieksport ke Jepun, China dan Amerika Syarikat melalui rakan kerja strategik di bawah program 'Smart Community' ini.

Menurut ketua program ini, Tuan Syed Yusof Syed Kecik, berdasarkan rentak perjalanan semasa, mereka menjangkakan sebanyak 1.2 juta nilai eksport dapat dijana pada 2023 melalui pengeksportan gula apong yang telah ditambah baik dan dikomersilakan melalui program ini.

Katanya, ia dapat memberikan pulangan yang baik kepada komuniti di Sarawak dan seterusnya limpahan-limpahan ekonomi yang lain terutama sekali pelancongan.

"Industri gula apong dilihat akan berkembang bukan sahaja di pasaran tempatan dan Arab Saudi, malah ke pasaran-pasaran lain.

"Ini menjadi titik tolak kepada produk-produk lain hasilan pribumi yang dahulunya dilihat sebagai industri kampung agar dapat diperkembangkan potensinya dalam menjana potensi ekonomi negara," katanya.

'Smart Community' merupakan sebuah inisiatif Universiti Sains Malaysia dan dibantu oleh TERAJU melalui Dana Pembangunan Bumiputera (DPUB) pada 2020.

Program ini menjadi salah sebuah program import dan eksport pertama yang melibatkan kerjasama antara Universiti Awam dan juga TERAJU.

Seramai 233 usahawan B40 Sarawak telah dipilih utuk menyertai program ini, dengan menyediakan platform pemasaran antarabangsa yang mampan, Smart Community telah menjana sebanyak RM500,000 yang telah dinikmati usahawan terbabit.- DagangNews.com

-Sumber daripada Dagang News Online

  • Created on .
  • Hits: 593

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024