USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

USAH REMEHKAN SOP RAIKAN TAHUN BAHARU CINA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/806148/usah-remehkan-sop-raikan-tahun-baharu-cina

Redzuan Muharam
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 
GAMBAR sekadar hiasan. FOTO Bernama  GAMBAR sekadar hiasan. FOTO Bernama
 
Kuala Lumpur: Kebarangkalian berlaku peningkatan kes dan wujudnya kluster baharu pasca sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak mustahil seandainya masyarakat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Itu pandangan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan pakar perunding Epidemiologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohamed Rusli Abdullah.

Menurut Dr Rusli, jangkaan itu berdasarkan data terdahulu yang menunjukkan peningkatan kes pasca sesuatu perayaan walaupun dalam pelaksanaan SOP yang ketat.

"Ketika ini, kita sudah memasuki fasa keempat dan SOP ditetapkan agak ringan berbanding dahulu.

"Dalam erti kata lain, pergerakan kini agak bebas dan walaupun kepentingan menjaga SOP diberi penekanan seperti kewajipan memakai pelitup muka, amalan penjarakan sosial selain saranan melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung namun masih ramai rakyat tidak akur.

"Mereka menganggap pematuhan kepada SOP sebagai perkara remeh dan ada kluster sebelum ini juga wujud disebabkan sikap individu tidak bertanggungjawab yang masih pulang ke kampung walaupun ada gejala," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

DR Mohamed Rusli. FOTO Ihsan Dr Mohamed Rusli AbdullahDR Mohamed Rusli. FOTO Ihsan Dr Mohamed Rusli Abdullah

Dr Rusli berkata, lebih membimbangkan jika sikap sambil lewa segelintir masyarakat terhadap Covid-19 dan kepentingan mematuhi SOP akan menyebabkan penyebaran jangkitan kepada golongan berisiko tinggi.

"Bukan yang beraya saja namun mereka yang mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina juga perlu mengambil berat soal SOP.

"Harus diingat, vaksin dan dos penggalak bukan tiket untuk berasa selamat kerana hanya melindungi diri daripada mendapat gejala serius, bukan 100 peratus menghalang jangkitan.

"Apa dikhuatiri adalah jika virus menjangkiti golongan berisio tinggi misalnya ibu bapa sudah berusia ditemui ketika pulang beraya kerana kealpaan kita lebih-lebih lagi dengan kehadiran varian Covid-19 seperti Omicron yang mempunyai keupayaan kebolehjangkitan yang tinggi," katanya.

Justeru, Dr Rusli mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP dan pastikan semua ahli keluarga sudah menerima vaksin Covid-19 sebelum berkumpul.

Dr Rusli berkata, mereka yang bergejala pula diharap terus memakai pelitup muka ketika berada dekat dengan rakan dan keluarga sekiranya tidak dapat mengasingkan diri sepenuhnya, selain mengambil inisiatif melakukan ujian saringan Covid-19 bagi mengetahui status kesihatan diri.

"Usaha mengekang wabak Covid-19 ini memerlukan kerjasama semua pihak jadi kita semua perlu bersatu untuk memeranginya.

"Cuti sempena perayaan ini seharusnya menjadi detik untuk kita eratkan silaturahim, bukannya membawa jangkitan kepada insan tersayang," katanya.

Disiarkan pada: Februari 1, 2022 @ 5:29pm

-Sumber daripada Harian Metro Online

  • Created on .
  • Hits: 412

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024