USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BULI SIBER DALAM KALANGAN BELIA: MALAYSIA KEDUA TERTINGGI DI ASIA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/01/800032/buli-siber-dalam-kalangan-belia-malaysia-kedua-tertinggi-di-asia

BERNAMA

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
 
Kuala Lumpur: Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia, menunjukkan buli siber kini menjadi masalah semakin ketara dalam negara.

Penggunaan media sosial secara meluas menjadikan ia platform menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk, bukan sahaja dalam kalangan belia, malah orang dewasa.

Penyelidik mengenai buli siber belia, Jessie Yong berkata, perbuatan itu mungkin berpunca daripada rasa tidak gembira si pembuli akibat keperluan asasnya tidak dipenuhi.

"Menurut Teori Pilihan Glasser, keperluan itu berkisar kepada aspek kelangsungan hidup, isu kepunyaan (untuk menyayangi, disayangi dan harga diri), kuasa, kebebasan dan keseronokan," jelasnya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Teori Pilihan dibangunkan pakar psikiatri Amerika Syarikat (AS), William Glasser itu menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai lima keperluan asas yang menggerakkan tingkah laku (pilihan mereka).

"Apabila satu atau lebih keperluan asas ini tidak dipenuhi, mereka mungkin menggunakan buli siber sebagai platform bagi memuaskan keperluan itu.

"Itu sebabnya kes buli siber tidak hanya dilakukan oleh golongan belia sahaja, tetapi turut membabitkan orang dewasa," jelas Yong, yang juga pensyarah sambilan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

"Kajian menunjukkan pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian tinggi.

"Ini disebabkan kekurangan kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian daripada orang asing," katanya dalam webinar 'TalkSpace' yang diadakan baru-baru ini, bagi menangani isu berkaitan dengan buli siber terutama dalam kalangan belia.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai rasa harga diri rendah, rasa kurang diterima secara sosial dan rasa kurang popular atau kurang disukai, turut mempunyai kecenderungan untuk terbabit dalam buli siber, berikutan kajian menunjukkan pembuli siber selalunya adalah individu tidak pandai bersosial.

Sementara itu dalam seminar sama, pengasas Projek #Cybercancelled dan bekas Miss Petite Universe International Semenanjung (MPUIS) 2020, Narvinni Jayakumar berkongsi pengalamannya berhadapan dengan pelbagai bentuk buli siber sejak berusia 16 tahun.

Beliau melalui pengalaman dibuli secara lisan, secara penyamaran serta secara menghendap siber (cyber stalking); dan kini berhasrat untuk membantu mereka yang mengalami situasi sama dengannya.

Sesi webinar itu dianjurkan buat julung kalinya oleh penuntut tahun akhir Komunikasi Persuasif dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan dihadiri lebih 400 orang.

Kumpulan penuntut itu turut melancarkan kempen NETHICS bagi tujuan memupuk etika media sosial yang baik dan membendung gangguan siber.

Pengarah projek, Larissa Lorelle Christian berkata, kempen itu akan memberi peluang kepada belia untuk menangani isu buli siber dan mempelajari etika berkomunikasi dalam talian.

Bengkel 'WorkSpace' turut diadakan sempena kempen berkenaan pada 10 Januari lalu untuk berkongsi kepentingan membina jenama diri dan cara untuk memperbaiki identiti dalam talian menerusi platform media sosial.

Disiarkan pada: Januari 14, 2022 @ 7:47pm

- Sumber daripada Harian Metro Online

  • Created on .
  • Hits: 818

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024