PELABURAN MICRON DI UNIVERSITI TEMPATAN PACU KEUPAYAAN PEKERJA SEMIKONDUKTOR
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2041275
07/01/2022 08:54 PM
GEORGE TOWN, 7 Jan -- Micron Technology Inc mengumumkan pelaburan sebanyak RM1 juta bagi memperkukuh projek kerjasama serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan universiti tempatan bagi tempoh lima tahun akan datang selain meningkatkan keupayaan pekerja tempatan.
Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron Malaysia Amarjit Singh Sandhu berkata Malaysia sememangnya penting bagi kedudukan pembuatan syarikat itu di peringkat global.
Sehubungan itu, beliau berharap pendanaan dan pemindahan pengetahuan kepada universiti tempatan akan dapat meningkatkan lagi ekosistem semikonduktor tempatan.
“Adalah diharapkan usaha pendanaan ini akan melonjakkan aspek R&D selain meningkatkan kemahiran sains, teknologi dan kejuruteraan dalam kalangan pekerja tempatan.
“Kami juga berharap untuk memanfaatkan kehadiran serta pengaruh kami untuk menyumbang terhadap ekonomi Malaysia, termasuk menjana peluang pekerjaan berkualiti selain meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing global,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pelaburan itu di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Amarjit berkata Micron telah memberi komitmen pelaburan sebanyak RM1.5 bilion di Malaysia sejak 2018 yang menyaksikan pengembangan operasi tempatan dengan kemudahan kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Muar di Johor selain dua fasiliti lain di Pulau Pinang iaitu Taman Perindustrian Prai dan Taman Perindustrian Batu Kawan.
Dalam pada itu, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Amarjit dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Professor Datuk Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, akan menjadikan USM sebagai rakan universiti pertama menerima dana daripada Micron.
Dana itu bagi menyokong penyelidikan dalam bidang bahan semikonduktor, pembuatan pintar dan kecerdasan buatan yang menjadi teras kemajuan teknologi pembuatan di negara ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sivasuriyamoorthy Sundara Raja yang menyifatkan kerjasama sedemikian sebagai penting bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai hab pembuatan yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Menurutnya, ini penting kerana pelaburan besar dalam sektor pembuatan akan disusuli dengan peningkatan permintaan terhadap pekerja tempatan.
“Jumlah angka pelaburan yang diluluskan pada tahun lepas adalah RM177.8 bilion yang merupakan peningkatan sebanyak 51 peratus berbanding 2020 biarpun dalam keadaan mencabar akibat COVID-19. Daripada jumlah itu, pelaburan bernilai RM103 bilion disumbangkan oleh sektor pembuatan.
“Lebih RM64 bilion disumbangkan oleh sektor elektrikal dan elektronik yang dijangka dapat mewujudkan 22,000 peluang pekerjaan.
“Oleh itu, kerjasama sedemikian adalah penting kerana turut memastikan wujudnya bekalan pekerja yang berterusan bagi sektor terbabit,” katanya. -- BERNAMA
-Sumber daripada Bernama Online
- Created on .
- Hits: 442