USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERFIKIR SECARA KRITIS RAHSIA KEJAYAAN PENERIMA ANUGERAH PINGAT EMAS CANSELOR USM

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/12/berfikir-secara-kritis-rahsia-kejayaan-penerima-anugerah-pingat-emas-canselor-usm/

KHAW Teng Kang (kanan); Muhammad Izzat Mohd. Zubir (dua dari kiri) dan Tan Meei Fen (kiri) menunjukkan ijazah masing-masing kepada Faisal Rafiq Mahamd Adikan (dua dari kanan) selepas Sidang Keenam Upacara Konvokesyen ke-58 USM di Dewan Tuanku Syed Putra, di Pulau Pinang hari ini.
 
Oleh SAFINA RAMLI
17 Disember 2021, 6:52 pm
 
GEORGETOWN: Berfikir secara kritis merupakan cara yang sering digunakan oleh Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Khaw Teng Kang, 25, untuk lebih memahami dengan lebih mendalam subjek yang diajar oleh pensyarahnya di universiti.

Teng Kang yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) berkata, selain itu dia juga tidak kekok bertanya sesuatu perkara kepada pensyarah dan berdebat dengan mereka sekiranya tidak pasti dengan jawapan sesuatu isu berkaitan bidang pengajiannya.

Anak pertama dari dua beradik yang kini bertugas sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat telekomunikasi swasta itu berkata, dia tidak pernah menyangka terpilih menerima anugerah tertinggi berkenaan daripada Tuanku Canselor,

Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada sidang pertama upacara Konvokesyen Ke-58 USM di Istana Arau, Perlis baru-baru ini.

“Saya rasa seperti bermimpi, memang tidak sangka saya akan menerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM kerana saya belajar seperti pelajar lain juga.

“Cuma saya sering berfikiran kritis dan berani bersemuka dengan pensyarah sekiranya ada perkara atau jawapan yang kurang memuaskan berkaitan sesuatu subjek,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar khas oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bagi memperkenalkan graduan cemerlang sempena Upacara Konvokesyen Ke-58 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini hari ini.

Menurut Teng Kang, dia merancang menyambung pengajian sehingga peringkat Ijazah Sarjana dan PhD juga di USM dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini saya mahu bekerja untuk mencari pengalaman terlebih dahulu, kemudian saya akan sambung semula pengajian sehingga ke peringkat PhD di USM,”katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat Mohd. Zubir, 25, yang merupakan salah seorang daripada penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia berkata, minat yang mendalam dalam bidang Fizik merupakan antara faktor yang membuatkan dia berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dengan Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.80.

“Bagi saya setiap perkara yang kita lakukan perlu disertai dengan minat, saya berasa gembira setiap kali belajar mengenai bidang Fizik.

“Gembira dengan apa yang kita lakukan merupakan salah satu faktor yang akan menjadi penyumbang kepada kejayaan, jadi kepada para pelajar saya nasihatkan mereka mendalami bidang yang menjadi minat mereka,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini dia mendalami bidang kripto dan menjadi satu cabaran baharu kepada dirinya sebelum kembali menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini. -UTUSAN ONLINE

-Sumber daripada Utusan Online

  • Created on .
  • Hits: 433

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024