USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

CACAT PENGLIHATAN BUKAN PENGHALANG GENGGAM IJAZAH

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/788784/cacat-penglihatan-bukan-penghalang-genggam-ijazah

Zuhainy Zulkiffli
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 
Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan (tengah) berbual dengan Mohamad Fairus Azmi (kanan), 28, dan Nadia Mohamad Rozali (kiri), 29, di Upacara Konvokesyen Ke-58 USM. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan (tengah) berbual dengan Mohamad Fairus Azmi (kanan), 28, dan Nadia Mohamad Rozali (kiri), 29, di Upacara Konvokesyen Ke-58 USM. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Georgetown: Kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 memberi kesan kepada graduan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) buta sepanjang pengajian.

Selain tidak dapat bersemuka dengan pensyarah, graduan Sarjana Pentadbiran Awam, Mohamad Fairus Azmi, 28, perlu menggandakan usaha bagi mempelajari aplikasi pengajian secara dalam talian.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu berkata, ia antara perkara baharu yang perlu dihadapi oleh insan senasib dengannya biarpun dalam keadaan mata tidak dapat melihat.

Katanya, menerusi komputer yang mempunyai alat pandu suara, dia mengambil masa lama bagi mengadaptasi 'norma baharu' dalam pembelajarannya.

"Bagi golongan seperti kami, inilah cabaran baharu dalam pengajian namun jika kita bersungguh-sungguh, semuanya boleh di atasi.

"Sebenarnya bagi OKU, pengajian secara dalam talian dan bersemuka mempunyai pro dan kontranya, cuma bezanya ialah mahu dan tidak sahaja," katanya ketika ditemui di Upacara Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Mengulas lanjut Muhamad Fairus berkata, pada masa ini dia belum merancang mahu melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi.

"Berikutan cabaran pada masa akan datang, saya kini mengikuti kursus komputer dan selepas latihan itu tamat kelak, saya akan menyambung semula pengajian.

"Kepada rakan senasib, jangan ragu-ragu hendak sambung belajar kerana institusi pengajian dalam negara kini sudah mesra OKU dan ambillah peluang yang ada," katanya lagi.

Sementara itu, graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Mikrolektronik, Nadia Mohamad Rozali, 29, tetap bersemangat menghadiri upacara konvokesyen meskipun sedang berpantang anak sulung.

Nadia dari Sungai Petani, Kedah berkata, dia melahirkan bayi perempuan pada 22 November lalu.

"Pada mulanya memang tidak mahu sertai konvokesyen, tetapi suami dan ibu mengizinkan kerana kesihatan sudah baik.

"Lagi pula ini adalah hari yang dinanti kepada semua graduan atas segala penat lelah semasa belajar, sudah tentu saya tidak mahu ketinggalan," katanya lagi.

Mohamad Fairus dan Nadia antara seramai 672 graduan menerima ijazah pada sidang keempat hari ini yang dipengerusikan Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan.

Pada upacara itu, seramai 5,964 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada sidang kedua hingga ke-sepuluh yang berlangsung pada 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

Disiarkan pada: Disember 15, 2021 @ 2:35pm

-Sumber daripada Harian Metro Online

  • Created on .
  • Hits: 511

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024