USM, VOLTAKE ENERGY JALIN KERJASAMA BANGUNKAN PROJEK PPRN
https://www.utusan.com.my/nasional/2021/09/usm-voltake-energy-jalin-kerjasama-bangunkan-projek-pprn/
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika hadir pada majlis penyerahan surat pemakluman pelaksanaan PPRN itu kepada syarikat berkenaan di sini hari ini.
Menurut Noraini, projek itu dikenali sebagai sistem pencucian panel solar mudah alih berasaskan platform internet yang disesuaikan secara separa automatik.
“Projek ini akan dilaksanakan untuk tempoh selama 12 bulan dengan dana sebanyak RM60,000.
“Diketuai oleh penyelidik USM, Prof. Madya Dr. Mohamad Aizat Abas, pembangunan projek ini diharap dapat menyediakan satu sistem bagi meningkatkan kadar pencucian panel solar yang dimiliki oleh syarikat,” katanya.
Ujar Noraini, ketika ini proses pencucian panel solar itu dilakukan secara manual justeru memakan masa yang lama serta tidak efektif dari segi kos dan penggunaan tenaga kerja.
“Pembangunan sistem ini bertepatan dengan objektif PPRN iaitu mewujudkan suatu inisiatif inovatif yang mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia dalam meningkatkan sesuatu produktiviti.
“Pada masa sama, ia juga membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara melalui program inovasi yang berpacukan permintaan,” ujar beliau.
Tambahnya, menjadi harapan kementeriannya untuk melihat prototaip atau peralatan pencucian panel solar itu mampu dikomersialkan dalam skala yang besar selepas berakhirnya projek tersebut pada tahun depan.
Selain itu kata Noraini, kejayaan projek itu juga diharap memberi ruang kepada para penuntut USM untuk melakukan latihan industri di syarikat tersebut yang seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
Dalam pada itu kata beliau, USM secara keseluruhannya telah menerima tiga geran PPRN tahun ini dengan dua lagi projek melibatkan pembangunan sistem dalam mengautomasikan proses kerja di syarikat terbabit.
“Pihak kementerian berharap dengan pemberian geran PPRN ini kepada pihak syarikat dan USM dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri lain untuk turut sama memohon geran PPRN pada tahun hadapan.
“Ini sekali gus merancakkan semula ekonomi negara selain membuka peluang-peluang pekerjaan kepada graduan universiti,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE
- Sumber daripada Utusan Online
- Created on .
- Hits: 556