USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

UNIVERSITI AWAM SEDIA TERIMA PELAJAR DI KAMPUS

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/860153/universiti-awam-sedia-terima-pelajar-di-kampus

Oleh Latifah Arifin - September 5, 2021 @ 4:27pm

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Picture1

KUALA LUMPUR: Pengurusan universiti awam (UA) giat melakukan persiapan menjelang pembukaan semula sesi pengajian secara bersemuka pada Oktober ini, yang berkemungkinan dibuat secara berperingkat.

Antara persiapan ialah mendapatkan maklumat status vaksinasi pelajar dan memastikan mereka divaksin sebelum memulakan kuliah di kampus.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan, berkata pihaknya masih menunggu keputusan rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara itu.

"Secara umumnya, KPT sudah menetapkan tarikh dan akan diumumkan tidak lama lagi.

"Kemasukan mungkin dibuat secara berperingkat iaitu pelajar yang sudah lengkap divaksinasi dan pelajar yang belum menerima vaksinasi.

"Bagi pelajar yang lengkap vaksinasi, mereka akan terus mendaftar di kolej kediaman masing-masing manakala yang belum menerima vaksinasi tetapi tergolong dalam kelompok berkeperluan khas perlu menjalani proses isolasi di dua lokasi kolej kediaman ditetapkan," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, memaklumkan KPT merancang membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober depan.

Mohd Fo'ad yang turut menjalankan fungsi TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, berkata sidang akademik UniMAP bagi sesi 2021/2022 akan bermula pada 9 Oktober bagi pelajar ambilan baharu, manakala sesi kuliah bermula pada 18 Oktober.

Katanya, pengurusan universiti dalam proses menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar.

Beliau berkata, UniMAP menubuhkan pasukan khas untuk memantau dan meneliti status vaksinasi pelajar termasuk bekerjasama dengan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran kediaman pelajar bagi memastikan mereka divaksin sebelum kembali ke kampus.

"Ini termasuk PPV KPT yang diwujudkan di IPT di seluruh negara yang mana semua IPT bekerjasama erat dalam memastikan kadar peratusan dalam kalangan pelajar meningkat.

"Di UniMAP, kami menganggarkan 80 peratus pelajar akan menerima vaksin lengkap menjelang 1 Oktober ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Aldrin Abdullah, berkata belum ada tarikh khusus bagi pengajian secara fizikal untuk pelajar sedia ada dan kemasukan baharu.

"Bagi pembelajaran bersemuka Oktober ini, pelajar tidak akan masuk ke kampus serentak.

"Hanya mereka yang dilihat berkeperluan akan memulakan pengajian terlebih dahulu.

"Kita akan mulakan dengan pelajar yang lengkap divaksin dengan kapasiti mengikut garis panduan ditetapkan KPT, berdasarkan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada BH.

Katanya, USM sudah menyerahkan senarai nama pelajar yang belum menerima suntikan vaksin kepada KPT.

Senarai itu difahamkan akan dikemukakan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membolehkan penuntut mendapat vaksinasi sebelum bermula sesi pembelajaran bersemuka.

-Sumber daripada Berita Harian Online

  • Created on .
  • Hits: 626

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024