USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

PADU LANCAR DANA KILAT BELI ALATAN PERUBATAN COVID-19

https://www.sinarharian.com.my/article/155332/KHAS/Covid-19/PADU-lancar-dana-kilat-beli-alatan-perubatan-Covid-19?ref=rss&format=simple&link=link

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 13 Ogos 2021

Dana Kilat Pembelian Alatan Perubatan dan Bantuan Pernafasan Covid-19 yang dilancarkan pada Rabu lalu. Dr Jafri (kanan)

GEORGETOWN - Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) mengambil inisiatif melancarkan Dana Kilat Pembelian Alatan Perubatan dan Bantuan Pernafasan Covid-19 Rabu lalu.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, dana itu bertujuan membantu hospital di Malaysia terutama di Lembah Klang menangani jumlah pesakit kritikal akibat virus berkenaan.

Menurutnya, sejumlah RM268,000 diperlukan segera untuk pembelian beberapa peralatan antaranya alat bantuan pernafasan, peralatan diagnosis dan penapis udara.

"Peralatan yang akan dibeli itu telah dikenalpasti sebagai keperluan utama buat masa ini untuk merawat pesakit Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pada Mac tahun lalu, PADU telah melancarkan projek pembelian alat sokongan dan bantuan pernafasan.

"Pada ketika itu, kita berjaya mengumpul dana melebihi RM100,000 dan dapat membeli beberapa set peralatan penting yang diperlukan termasuk set helmet Continuous Positive Airway Pressure Therapy (CPAP) dan Bilevel Positive Airway Pressure (BiPAP).

"Semua alatan itu telah diagihkan ke hospital-hospital seluruh negeri antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Umum Sarawak dan Hospital USM," katanya.

Dr Jafri berkata, PADU turut bekerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh negara melalui wakil mereka di setiap hospital berkenaan.

"Saya berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan hasrat perawat barisan hadapan dalam memberi rawatan efisien kepada pesakit yang semakin meningkat dari hari ke hari.

"Saya mewakili PADU mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk membantu pesakit yang memerlukan alat sokongan pernafasan," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan Kilat Covid-19.

Penyumbang juga boleh menghubungi urusetia PADU di talian 013-9156345 untuk mendapatkan resit sumbangan bagi tujuan pengecualian cukai.

-Sumber daripada Sinar Harian Online

  • Created on .
  • Hits: 351

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024