NARATIF SEJARAH TANAH MELAYU 'DIKAWAL' PENJAJAH
Hal ini disebabkan eurosentrisme meletakkan nilai keadilan, kemajuan, kemanusiaan dan keagungan Eropah lebih unggul berbanding peradaban bangsa lain.
Bagaimanapun di Malaysia, pemikiran seakan-akan tidak disedari walaupun pembicaraan dan perdebatan mengenainya dalam kalangan ahli sejarah sudah wujud sejak 1960-an lagi.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin, berkata pemikiran eurosentrisme menguasai semua aspek kehidupan dan kefahaman termasuk ilmu, pendidikan, bahasa, sains, falsafah, sejarah, ideologi, sosial, budaya, sukan dan agama.
"Eurosentrisme menyebabkan penilaian kemajuan berkiblatkan Eropah sahaja dan tidak kepada benua atau negara lain kerana mereka dianggap lebih unggul.
"Contohnya dalam berpakaian, jika tidak sama dengan Eropah, ia dianggap mundur dan tidak bertamadun.
"Pakaian yang bertutup seperti di negara Arab, berbeza dengan mereka dianggap sebagai elemen yang sangat rendah bagi ukuran dan nilai berpakaian Eropah," katanya dalam Wacana ATMA Eurosentrisme, Kolonialisme dan Pembinaan Imej Melayu: Satu Pengamatan Sejarah kendalian Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Asyaari Muhamad yang diadakan secara maya, baru-baru ini.
Azmi berkata, kepercayaan eurosentrisme dikembangkan di negara ini melalui catatan pentadbir kolonial British mengenai orang Melayu ketika bermulanya campur tangan penjajah menjelang akhir kurun ke-19.
Laporan dan catatan negatif mereka itu kemudiannya membentuk tradisi pensejarahan kolonial dan dijadikan rujukan utama dalam pengkajian sejarah dan sains sosial di negara ini sehingga hari ini.
"Imej negatif peribumi dalam tulisan mereka ini sangat luas dan ia dihasilkan termasuklah oleh kalangan yang dianggap sebagai 'humanis' seperti (Frank) Swettenham dan (Hugh) Clifford.
"Ia diburukkan pula dengan pergantungan kuat terhadap tradisi pensejarahan dan kerangka idea sejarah Eropah selain keterikatan terhadap konsep sejarah Eropah.
Azmi berkata, kerangka sejarah, evolusi sosial dan konsep Eropah digunakan secara bebas tanpa penelitian ilmiah, misalnya penggunaan istilah feudal bagi menghina dan merendahkan masyarakat peribumi.
Beliau berkata, ia dilakukan bagi membina naratif baharu dan imej peribumi yang didakwa sebagai rendah dan tidak bertamadun supaya sesuai dengan proses penjajahan dan kepercayaan Eropah sebagai mewakili bangsa dan tamadun unggul.
Lebih malang, pemikiran sebegitu diterima pula sebagai sejarah di negara bekas tanah jajahan.
"Apa kesannya pada pemikiran sejarah kita hari ini? Umumnya ahli sejarah mengakui tulisan kita mengenai sejarah banyak dibentuk elemen pemikiran kolonial yang prejudis.
"Akhirnya, imej yang dibina, diterima sebagai sejarah sebenar di tanah jajahan mereka, bukan saja di Tanah Melayu malah di India dan Afrika," katanya.
Mutakhir ini menurut Azmi, muncul gerakan yang cuba menolak pensejarahan kolonial dan imej peribumi yang buruk seperti mana berlaku di Afrika melalui pemikiran dirujuk sebagai Afrocentrism; China (Sinocentrism) dan India (Subaltern) yang sudah berpisah daripada konsep Eropah.
"Mereka banyak menulis mengenai aspek eurosentrik dan cuba menghapuskan pengaruhnya dengan membina alternatif baharu tetapi di negara ini walaupun perbincangan isu ini sudah berlangsung sejak 1960-an tetapi ia seolah-olah tidak ke mana-mana dan tidak berkesan," katanya.
Menurut Azmi, sehingga hari ini, jika membaca penulisan mengenai masyarakat Melayu, pemerintahan Sultan dan Raja serta negeri pada kurun ke-19, imej negatif itu didapati sangat kuat tertanam dalam catatan sejarah negara.
Katanya, ahli sejarah tempatan menerima kerangka pensejarahan eurosentrik malah bergantung kepada konsep Eropah termasuklah dalam kalangan pengkaji nasionalis yang dianggap kritikal terhadap kolonialisme termasuk Syed Hussien Alatas.
Meskipun Syed Hussien adalah pelopor dalam pengkajian gagasan feudalisme Melayu tetapi kata Azmi tidak ada penulisannya mengenai bagaimana feudalisme diamalkan Melayu.
"Kassim Ahmad, Syed Husin Ali, Chandra Muzaffar dan Shaharuddin Maaruf adalah antara penulis yang kritikal terhadap kolonialisme tetapi pengguna konsep Eropah yang sangat kental.
"Ia menunjukkan seolah-olah dalam kajian sejarah, kita tidak boleh memikirkan alternatif atau mencari takrif dengan konsep sendiri hingga terpaksa menumpang dan menggunakan idea orang lain
"Ia sebenarnya boleh dilakukan dan dalam kajian mengenai negeri Perak, saya membina konsep sendiri tetapi ahli sejarah nampaknya suka bergantung kepada konsep sedia ada dan enggan mengkaji daripada sudut ilmiah seperti mana konsep feudal itu sendiri," katanya.
Azmi berkata, kelemahan Syed Hussien dalam konteks Eurosentrisme ialah apabila beliau menolak gagasan peribumi malas menggunakan hujah orang Melayu bekerja sendiri dan menolak perhambaan di bawah British.
Bagaimanapun tegasnya, Syed Hussein gagal melihat penciptaan mitos malas oleh kolonial bukanlah berdasarkan bukti Melayu itu bekerja atau tidak tetapi sudah wujud dalam pemikiran British sebelum penjajahan lagi disebabkan pemikiran eurosentrisme.
"Gagasan peribumi malas hanyalah rekaan persepsi British dan amat pelik Syed Hussein menolak mitos itu tetapi menerima mitos feudalisme Melayu kerana menurut British, malas muncul daripada amalan feudalisme.
"Ini bermaksud Syed Hussein hanya menolak sebahagian sahaja penghinaan British itu," katanya.
Eurosentrisme sebagai kesan kolonialisme menurut Azmi, menyebabkan wujud banyak imej negatif dalam pemikiran sejarah hari ini misalnya apabila Raja dikatakan berkuasa multak sedangkan konsep itu hanya wujud di Eropah.
"Imej ini dibina dalam bentuk perbandingan sistem di Eropah sedangkan Raja Melayu kalau dibaca melalui teks Melayu, sering dihukum apabila melakukan kesalahan malah dalam Sulalatus Salatin, ada raja dibunuh dan meletak jawatan. Adakah ini imej berkuasa mutlak?
-Sumber daripada Berita Harian Online
- Created on .
- Hits: 931