USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

SARAN SEKTOR PERKILANGAN DITUTUP MENYELURUH

https://www.sinarharian.com.my/article/147169/BERITA/Nasional/Saran-sektor-perkilangan-ditutup-menyeluruh?ref=rss&format=simple&link=link

ROSLINDA HASHIM | | 30 Jun 2021

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Dr Mohd Syakir

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menutup sektor perkilangan secara menyeluruh dalam tempoh tertentu bagi mengurangkan kes Covid-19 dan kembali membuka secara berperingkat selepas berlaku penurunan kes.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, sektor itu menyumbang kepada pertambahan kluster akibat kesukaran mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, langkah itu lebih wajar berbanding menutup operasi perusahaan kecil dan peruncitan yang boleh menyebabkan peniaga gulung tikar.

“Sekiranya kerajaan bimbang dengan status kewangan negara, sektor perkilangan boleh dibuka secara berperingkat di negeri yang mencatatkan kes Covid-19 di bawah 100 dan pada masa sama menutup secara menyeluruh perkilangan di Selangor atau melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD )di negeri itu kerana kes masih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dr Mohd Syakir berkata, bagaimanapun kerajaan dilihat cuba mengambil jalan tengah dan terbaik bagi menyelesaikan kemelut peniaga dan bukan peniaga kerana sektor ekonomi dan kesihatan saling berkait rapat.

“Kes Covid-19 kini sekitar 5,000 sehari. Sepatutnya ada langkah lebih wajar diambil oleh kerajaan. Selangor mencatatkan angka lebih 2,000 kes sejak awal tahun ini kerana ia berkait dengan industri perkilangan dan sektor ekonomi.

"Sebelum pelaksanaan darurat sehingga kini, industri perkilangan antara penyumbang kepada pertambahan kluster. Kerajaan telah melakukan tindakan yang wajar dengan melaksanakan sekatan rentas negeri dan daerah namun perlu difahami angka kes yang masih tinggi disebabkan sektor perkilangan,” katanya.

Menurutnya, rakyat memahami sukar untuk kerajaan menutup sektor ekonomi secara menyeluruh kerana ia melibatkan kewangan negara dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian ratusan bilion ringgit sekiranya berbuat demikian.

“Pada masa sama kerajaan terpaksa menanggung beban perbelanjaan yang tinggi untuk memenuhi keperluan asasi ramai pihak. Ini termasuk keluhan daripada sektor peruncitan yang kini berdepan kuasa beli pelanggan yang menurun.

"Wang gaji tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan. Wang simpanan semakin berkurang. Walaupun kerajaan membenarkan peruncitan dibuka tetapi ia tidak memberi kesan kepada keuntungan peniaga kerana tidak ramai boleh membeli,” katanya.

Dr Mohd Syakir berkata, ini menyebabkan sebahagian peniaga sanggup membuat pinjaman daripada syarikat peminjam wang berlesen untuk menampung perbelanjaan selain terpaksa menanggung riba yang tinggi.

"Ramai peniaga membangkitkan lanjutan PKP 3.0 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa pertama yang dijadualkan berakhir hingga pertengahan Julai, maka banyak perusahaan dan peruncit terpaksa gulung tikar. Perlu diteliti secara mendalam sejauh mana PKP memberi kesan kepada peniaga,” katanya.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan terhadap rakyat juga dilihat semakin menurun manakala rakyat bawahan semakin hilang punca untuk beroleh pendapatan.

“Walaupun PKP 1.0 banyak kekurangannya, sebahagian besar rakyat tidak berasa kesusahan seperti fasa PKP 3.0. Ketika itu, kuasa beli rakyat masih besar dan semua pihak menikmati bantuan kerajaan berbanding sekarang.

"Bagaimanapun sebahagian besar rakyat gembira dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang lebih menyeluruh berbanding bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin),” katanya.

-Sumber dari Sinar Harian Online

 

  • Created on .
  • Hits: 435

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024