USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

JUMLAH PENERIMA DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19 MALAYSIA ATASI PURATA ASIA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/824938/jumlah-penerima-dos-pertama-vaksin-covid-19-malaysia-atasi-purata

Ahmad Suhael Adnan - Jun 6, 2021 @ 5:33pm
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 
WhatsApp Image 2021 06 06 at 6.38.44 PM 

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatat kemajuan memberangsangkan apabila kadar pemberian dos pertama vaksin COVID-19 berbanding populasi Malaysia kini melepasi purata di Asia.

Ia berdasarkan data portal statistik Our World in Data yang dikongsi Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam di Twitter, hari ini.

Menurut statistik itu, sejumlah 7.09 peratus daripada kira-kira 32 juta rakyat Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat Jumaat lalu, lebih tinggi daripada purata Asia yang mencatatkan 6.39 peratus.

"Dalam tempoh 100 hari pelaksanaan PICK, Malaysia (pada kadar 7.09 peratus) sudah melepasi purata Asia (6.39 peratus), dan semakin menghampiri purata dunia (11.38 peratus)," katanya dalam hantaran berkenaan.

 

Statistik itu dilihat menjawab dakwaan segelintir pihak yang menuduh PICK bergerak terlalu perlahan berbanding negara lain, walaupun kepantasan pemberian vaksin bergantung kepada jumlah bekalan dos vaksin yang diterima daripada syarikat pengeluar.

Dalam hantaran seterusnya, Mohd Ghows yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Biologi Universiti Sains Malaysia (USM), percaya kadar pemberian dos pertama vaksin di Malaysia bakal menghampiri 11 peratus pada hujung bulan ini.

Dalam pada itu, statistik berkenaan menunjukkan kadar pemberian dos pertama vaksin berbanding populasi di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding beberapa negara jiran.

Pada kadar 7.09 peratus, Malaysia mencatat kadar lebih tinggi berbanding Indonesia (6.37 peratus), Filipina (3.6 peratus), Thailand (3.6 peratus) dan Vietnam (1.22 peratus).

Malaysia memulakan program imunisasi COVID-19 pada 24 Februari lalu dan data terkini menunjukkan sejumlah 3,493,193 dos vaksin sudah diberikan setakat semalam.

Daripada jumlah itu, 2,364,455 individu sudah menerima satu dos vaksin, bersamaan 9.7 peratus daripada 24.3 juta individu berusia 18 tahun ke atas di negara ini, atau 7.4 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia.

- Berita Harian Online

  • Created on .
  • Hits: 392

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024