TIGA PPV IPT MULA BEROPERASI AWAL MINGGU DEPAN
https://www.sinarharian.com.my/article/142562/KHAS/Covid-19/Tiga-PPV-IPT-mula-beroperasi-awal-minggu-depan?ref=rss&format=simple&link=link
05 Jun 2021
KUALA LUMPUR -Tiga Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) akan mula beroperasi seawal minggu hadapan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Noraini dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, PPV IPT berkenaan ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam akan beroperasi bermula 7 Jun, manakala PPV IPT Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (@AmDI) USM mula beroperasi pada 14 Jun.
“Tiga PPV IPT ini merupakan sebahagian daripada 19 PPV IPT yang dicadangkan oleh KPT bagi membantu PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dalam menyediakan akses lebih luas kepada rakyat untuk divaksin.
“KPT mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak Covid-19 di negara ini. KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan Covid-19,” katanya.
Noraini memaklumkan, pemberian vaksin di UiTM Kampus Puncak Alam akan dibuat di Dewan Berlian yang mempunyai kapasiti 1,500 orang pada satu-satu masa dengan waktu operasi bermula dari pukul 9 pagi hingga 8 malam.
Katanya, perkhidmatan itu akan dilaksanakan secara hibrid dengan pemberian vaksin secara pandu lalu di Hospital UiTM, Kampus Puncak Alam.
Bagi PPV IPT USM pula, ujarnya, pemberian vaksin yang akan dijalankan di Dewan Peperiksaan A dan B, Kampus Induk USM itu juga secara hibrid dengan sasaran 400 hingga 1,000 dos sehari.
“Perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut dirancang bagi kes-kes tertentu seperti OKU,” katanya.
Jelas Noraini, pemberian vaksin di PPV IPT @AmDI, Bertam akan dilaksanakan di Dewan Al-Azahari dengan kapasiti 200 orang pada satu-satu masa dengan sasaran 1,000 orang sehari, kedua-dua PPV IPT itu akan beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 5 petang.
- Sumber dari Bernama
- Created on .
- Hits: 363