USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: SAMBUTAN IWD2024 BUKTI KOMITMEN PULAU PINANG ARUS PERDANAKAN GENDER

Bulletin Mutiara
Sambutan IWD2024 bukti komitmen Pulau Pinang arus perdanakan gender
NUR ASHIKIN ISMAIL | 8 Mac 2024

 f900829c 1732 4de7 b72c ec87d5a5a9e4

BATU UBAN – Sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 (IWD2024) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) semalam menjadi bukti Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam mengarusperdanakan gender seiring dengan pembangunan negeri.



DATO’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penganjuran sambutan berkenaan adalah sejajar dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri akan terus mempertingkat pelaksanaan strategi Dasar Keterangkuman Gender demi merapatkan jurang gender yang ada.

“Bertepatan dengan tema sambutan IWD2024 pada tahun ini, ‘Inspirasikan Keterangkuman’, Kerajaan Negeri akan memastikan semua strategi dan inisiatif di bawah Dasar Keterangkuman Gender dilaksanakan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua bahawa usaha pihak (Kerajaan Negeri) sahaja tidak mencukupi, perlu sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan lain bagi mempercepatkan pencapaian matlamat dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam pembangunan negeri,” ujarnya pada majlis berkenaan baru-baru ini.

 

 
GIMIK perasmian IWD2024 yang disempurnakan oleh TYT.

Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor hadir menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Naib Canselor USM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng merupakan antara yang turut hadir.

 
ANTARA yang turut hadir sambutan IWD2024 serta menunjukkan sokongan berpakaian ungu.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) yang memasuki tahun ke-12 itu membawa tema ‘Inspirasikan Keterangkuman’ dengan tanda pagar #InspireInclusion.

Majlis tersebut juga mendapat kerjasama pelbagai agensi, organisasi, institusi pengajian tinggi serta syarikat-syarikat swasta tempatan.


LIM Siew Khim.

Dalam pada itu, Siew Khim ketika berucap, turut menekankan bahawa sambutan IWD2024 perlu dijadikan sebagai platform untuk memperingati dan menghargai para wanita yang telah mencurah bakti dalam pelbagai aspek pembangunan negeri.

“IWD2024 tahun ini mewujudkan cetusan inspirasi keterangkuman gender yang mana Kerajaan Negeri dan PWDC ingin menekankan betapa pentingnya penglibatan semua, wanita dan lelaki, dalam meraikan kepelbagaian komuniti serta mendorong penglibatan setiap lapisan masyarakat.

“(Dan) juga untuk merealisasikan keterangkuman gender sekali gus merapatkan jurang antara wanita dan lelaki dalam pelbagai lapangan, memperuntukkan komitmen dan kerjasama semua pihak.

“Kini, wanita mempunyai peluang untuk memecahkan tembok diskriminasi, stereotaip dan sikap prejudis, kejayaan barisan wanita berpengaruh harus dijadikan sebagai sumber inspirasi dan teladan,” katanya.

Menariknya sambutan tahun ini diserikan dengan penampilan tiga ikon wanita iaitu Ikon Usahawan yang juga antara pelopor fesyen Muslimah, Mona Din; Dr. S. Malar Santhi, seorang pegawai perubatan yang terkenal dengan segmen ‘Celoteh Dr. Malar’ di media sosial dan Dr. Beth Wei Yin Yam, Felo Jurutera Utama.

Pada sebelah petangnya pula, diadakan aktiviti berkumpulan, Cabaran Ungu yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1,000.

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

  • Created on .
  • Hits: 280

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024