STAF JABATAN KESELAMATAN DISERU KEKALKAN DISIPLIN YANG TINGGI
PULAU PINANG, 30 Januari 2013 – Sebagai pasukan beruniform yang berwibawa dan dihormati, anggota pasukan keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM) perlu sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dalam menunaikan tanggungjawab utamanya iaitu memelihara keamanan dan ketenteraman di dalam kampus.
Demikian ujar Profesor Datuk Omar Shawkataly, ahli Lembaga USM, ketika berucap memberi amanatnya kepada 14 anggota staf Jabatan Keselamatan dalam majlis tabik hormat perbarisan kawad bulanan anjuran jabatan tersebut yang berlangsung pagi ini.
Menurut Omar, setiap staf Jabatan Keselamatan perlu ‘melihat ke belakang supaya dapat maju ke depan’ dengan mencontohi staf senior yang berkhidmat sebelum ini dan telah bersara yang mempamerkan tahap disiplin dan dedikasi yang tinggi dalam menjalankan tugas harian mereka.
“Ini penting bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan prestasi kerja setiap staf supaya terus memberikan perkhidmatan yang terbaik demi menaikkan imej Jabatan Keselamatan dan juga menjadikan kampus kita sentiasa selamat dan sejahtera,” kata beliau.
Selain memeriksa perbarisan kawad dan menerima tabik hormat dari mereka, Omar turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada dua anggota staf Jabatan Keselamatan.
Omar turut berkata, perbarisan kawad ini merupakan suatu usaha yang amat baik dan harus diadakan setiap bulan dengan menjemput Dekan atau Pengarah dari pusat tanggungjawab yang berlainan pada setiap bulan sebagai tetamu kehormat untuk menerima tabik hormat dari perbarisan kawad.
“Saya percaya inisiatif ini akan memberi peluang kepada staf Jabatan Keselamatan untuk mengenali dengan lebih dekat lebih ramai warga ketua jabatan, staf akademik dan juga pegawai universiti” kata Omar lagi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pegawai Keselamatan Jabatan Keselamatan, Mejar Mohamad Fadzil Ibrahim (Bersara), Timbalan Pendaftar Jabatan Keselamatan, Haji Mhd Ramli Mehat, dan beberapa pegawai Universiti. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 3130