USM NEWS PORTAL 

English News

PHYSICALLY CHALLENGED GRADUATE COMMITTED TO CONTINUE EDUCATION

usmcacat

PULAU PINANG, 14 Apr. 2013 – Walaupun tidak memiliki keupayaan fizikal sama seperti individu normal lain, seorang graduan kelainan upaya (OKU) komited untuk meneruskan azamnya bagi menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.).

Khoo Teng Hong, 28, yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan sempena Upacara Konvokesyen ke-47 Universiti Sains Malaysia (USM) menyuarakan hasratnya itu ketika ditemui sejurus selesai menerima skrolnya dari Naib Canselor, Porf. Dato’ Omar Osman.

Beliau menghidap penyakit Distrofi Otot ((muscular dystrophy, MD) yang meyebabkan otot-otot yang mengawal pergerakan secara perlahan-lahan menjadi lemah, menyebabkan beliau kini hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

Teng Hong berkata, beliau terharu kerana sudah berjaya sampai di pertengahan perjuangannya dalam menimba ilmu dan berharap kesihatannya terus baik bagi membolehkannya menyambung pengajian ke peringkat Ph.D.

``Saya terharu dengan sokongan semua pihak termasuk keluarga dan rakan-rakan yang tidak pernah jemu membantu. Menuntut ilmu adalah satu tuntutan mulia dan saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada warga gedung ilmu ini,’’ katanya.

Bapa beliau, Khoo Kay Lee, 56 pula berkata, beliau begitu terharu dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak sulungnya dari dua beradik tersebut, walaupun dengan keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Katanya, beliau tidak pernah jemu memberi sokongan kepada Teng Hong, malah turut berkorban apa sahaja bagi membolehkan anaknya mencapai cita-citanya untuk berjaya dalam pelajaran dan hidupnya.

``Sejak di sekolah hingga ke universiti, sayalah yang menguruskan aktiviti sehariannya termasuk menghantar dan mengambil beliau ke mana sahaja destinasi yang ingin dituju. Saya tidak pernah letih malah gembira menunaikan tanggungjawab tersebut,’’ ujarnya.

Malah, Kay Lee dan isterinya, Quah Poh See, 56, amat bangga dengan kejayaan yang ditempa anak mereka dan beranggapan semangat yang ada pada Teng Hong tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.

 DSC9526

Dalam pada itu, Omar pula dalam ucapannya ketika mempengerusikan sidang kedua Upacara Konvokesyen ke-47 USM berkata, mahasiswa mempunyai tanggungjawab dan amanah besar yang harus dipikul untuk kesejahteraan masyarakat.

Katanya, mahasiswa seharusnya berupaya memiliki, menguasai malah menjiwai ilmu yang dipelajarinya dan bersikap ikhlas menggunakan ilmunya dengan niat yang betul demi manfaat keluarga, masyarakat, negara malah dunia secara keseluruhan.

``Mahasiswa yang akhirnya bergelar graduan, perlu terus hormat kepada pendidik dan institusi ilmunya, memahami tujuan dan peranan yang harus dimainkannya sebagai ilmuan serta menghormati setiap peraturan yang ada.

``Dia juga perlu menjunjung kemuliaan ilmu yang dikuasainya kerana ilmu itulah akan mejadi kehidupan barunya dalam berfikir dan bertindak,’’ katanya di hadapan kira-kira 600 graduan bersama ibu bapa di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) baru-baru ini.

Tambah beliau, graduan turut diseru untuk memartabatkan ilmu dan ilmuan pada kedudukan yang tinggi dan bersama-sama memastikan sikap ‘passionate’ atau kecintaan mendalam itu dizahirkan demi pembangunan sebuah institusi ilmu.

``Sebagaimana seorang pensyarah perlu memberikan kesan berganda kepada mahasiswanya, begitu juga seseorang siswazah harus memberikan kesan berganda kepada masyarakat dan negaranya.

``Kesan berganda dalam erti kata meneruskan kelangsungan ilmu, memberikan nilai tambah yang berterusan kepada ilmu, diri dan orang lain, memastikan kelangsungan keharmonian  dan kesejahteraan sosial yang ada,’’ katanya.

Dalam pada itu, upacara pengijazahan tersebut memperlihatkan sejumlah 971 graduan berjaya berijazah, dan menyertai keseluruhan 20,570 orang siswazah ijazah tinggi dan 111,123 orang siswazah ijazah pertama sejak USM ditubuhkan.

Turut hadir pada upacara konvokesyen kali ini ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, ahli-ahli LGU, Naib-naib Canselor IPT, pegawai-pegawai utama universiti dan sebagainya.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 970

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024