KHAIRUL AMEEN JUARA MALAYSIAN BRAIN BEE CHALLENGE (MBBC) 2015
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2015 - Dengan hanya perbezaan kiraan markah sebanyak 0.25%, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al - Mashoor (Lelaki), Pulau Pinang Khairul Ameen Mohamad Sabri, berjaya menewaskan 14 pesaing dari dalam kalangan para pelajar sekolah menengah Semenanjung Malaysia untuk dinobatkan sebagai juara Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2015 untuk mewakili Malaysia ke Pertandingan International Brain Bee Championship (IBB) 2015 yang akan berlangsung di Cairns, Queensland, Australia, Ogos nanti.
Khairul Ameen yang begitu gembira dengan kemenangannya seakan tidak percaya dengan kemenangan yang dicapainya.
“Saya seakan tidak percaya dengan kemenangan ini kerana pesaing-pesaing hebat-hebat semua yang datang dari sekolah yang berprestij dengan nama yang besar dan saya akan berikan yang terbaik semasa di Australia nanti kerana yang digalas adalah nama negara kita yang perlu dijunjung tinggi,” kata Khairul Ameen.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya, Kuala Lumpur Ng Zi Ying menjadi Naib Juara manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Kuala Lumpur Mika Daniel Harris Chong mendapat tempat ketiga.
Peserta dari Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu, Kelantan Tengku Zafran Long Tengku Long Haniff yang juga ahli Kelab Neurosains USM menerima Anugerah Al-Biruni yang telah diperkenalkan bermula tahun lalu yang mengambil nama saintis Abu Al-Rayhan Muhammad Ibn Ahmad Al-Biruni.
Tengku Zafran Long adalah peserta paling cemerlang dalam sesi pertandingan di peringkat zon dalam pelbagai aspek yang dinilai seperti ketepatan menjawab persoalan dan kecerdasan minda yang dimiliki.
MBBC adalah Projek Libatsama “BrainBee@USM” melalui sokongan Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan, Pusat Perkhidmatan & Penyelidikan Neurosains, Kampus Kesihatan USM serta Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
MBBC kali kedua peringkat kebangsaan ini mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan oleh 800 orang pelajar dari 125 sekolah menengah.
Berucap merasmikan MBBC, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim pihaknya berbangga kerana program menguji minda dalam bidang Neurosains ini kian mendapat perhatian ramai yang diharapkan nanti menjadi program negara yang melibatkan Sabah dan Sarawak dalam mengasah bakat anak-anak muda kita.
Hadir pada majlis ini ialah Pengarah Perkhidmatan & Penyelidikan Neurosains Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Jafri Malin Abdullah, pensyarah kanan Jabatan Neurosains selaku Ketua Projek Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha serta guru-guru yang terlibat.
Teks Asal: Mohd Rodin Che' Yusoff/Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1835