SUKAN ANTARA DESASISWA (SUKAD) BAWA AGENDA PEMERKASAAN SDG 3 - GOOD HEALTH AND WELL-BEING
USM PULAU PINANG, 26 Januari 2024 – Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Fasa 1 kembali menyemarak semangat kesukanan antara desasiswa-desasiswa utama Universiti Sains Malaysia (USM).
Berlangsung pada 26-28 Januari 2024 di Kampus Induk USM, kontingen-kontingen yang bertanding datang daripada desasiswa Restu, Saujana, Tekun, Indah Kembara, Aman Damai, Cahaya Gemilang Harapan, Murni Nurani, Jaya Lembaran Utama, dan Bakti Fajar Permai.
SUKAD Fasa 1 hari ini dirasmikan oleh Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa (MPD), Zulkifli Che Hussin, barisan penggawa dan penolong-penolong penggawa serta warga Pusat Sukan dan Rekreasi.
Dalam ucapannya, Hairul menekankan supaya SUKAD ini menjadi platform untuk pelajar menyerlahkan bakat dalam bersukan dan semua atlet perlu bertanding secara sihat dan muhibbah serta dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Ia juga bertepatan dengan hasrat Universiti untuk memperkasakan SDG 3 – Good Health & Well-being (Kesihatan Baik & Kesejahteraan) dalam kalangan warga kampus terutama pelajarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin pula mengucapkan selamat berjuang kepada semua atlet dan para pegawai pada kejohanan kali ini.
Berjuang dengan semangat satu USM untuk sama-sama memupuk semangat kesukanan yang tertinggi serta mampu melahirkan bakat dan tokoh kesukanan yang cemerlang dalam usaha untuk menyokong pembangunan sukan di USM.
SUKAD Fasa 2 dan 3 pula akan berlangsung pada bulan Mei kelak masing-masing di Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah, Pusat Pembangunan Bakat (TDC) BHEPA/Foto: Urusetia Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Fasa 1 & Unit Media dan Dokumentasi BHEPA
- Created on .
- Hits: 643