MoA USM-ADVANTECH, WADAH PEMERKASAAN PROGRAM BERLANDASKAN KEPADA PENYELESAIAN PRAKTIKAL IoT DAN TEKNOLOGI PINTAR
PERAI, 24 Januari 2024 – Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan Advantech Co. Malaysia Sdn. Bhd. hari ini akan menjadi wadah kepada pemerkasaan program universiti berlandaskan kepada penyelesaian Internet of Things (IoT) dan teknologi pintar.
MoA yang ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pusat Khidmat Pelanggan Advantech, Elvin Ng ini akan menjadi sumber kepada ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan, seterusnya memberi manfaat kepada pelajar serta universiti secara bersama.
![]() |
![]() |
Malah, kerjasama yang akan berlangsung selama lima tahun ini adalah sejajar dengan matlamat USM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari segi akademik tetapi juga bersedia dengan tuntutan kerja sebenar dunia industri, khususnya dalam sektor teknologi.
Ketika sidang media sejurus berlangsungnya majlis penandatanganan tersebut, Abdul Rahman turut memaklumkan bahawa lima orang pelajar terpilih akan menjalani latihan industri di bawah MoA dan terus berkhidmat di bawah Advantech Co. Malaysia pada tahun akhir pengajian masing-masing.
![]() |
![]() |
“Pelajar berpeluang untuk menimba pengalaman sebenar dalam dunia industri, berbeza dari pembelajaran di dalam kelas sepanjang mereka di USM sebelum ini.
“Selain daripada sesi pembelajaran tersebut, pengalaman seperti inilah yang diperlukan oleh pelajar kami dan ianya hanya boleh dilaksanakan dengan kerjasama langsung daripada rakan industri seperti Advantech,” tambah beliau.
Dalam sesi yang sama, Elvin selaku wakil Advantech turut menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi syarikat tersebut dalam usaha untuk mewujudkan masa depan dunia industri yang lebih baik.
“Keperluan dalam melahirkan pelajar masa hadapan yang memiliki pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri serta kurangnya bakat sedia ada di dalam pasaran membawa kepada terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak hari ini.
“Pemilihan USM sebagai rakan kerjasama juga adalah seiring dengan objektif dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan global utama bagi industri Elektrik dan Elektronik (E&E) di Asia Tenggara, seterusnya mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga mahir dari luar negara,” kata Elvin.
Beberapa inisiatif turut dirancang melalui MoA ini untuk memupuk tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi ASEAN, termasuklah melalui usaha sama inkubator teknologi, pembangunan kurikulum, dan projek penyelidikan khusus industri dalam meningkatkan kemahiran sektor teknologi.
Antara program yang telah dijalankan antara USM dan Advantech setakat ini termasuklah projek penyelidikan kolaboratif, latihan amali dan bengkel yang membawa cabaran dunia sebenar ke dalam persekitaran akademik.
Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin>; Pengarah Urusan Asia and Intercontinental Region (AInterCon), Vincent Chang; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi@Suandi; Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf; dan Pengurus Besar Advantech Co. Malaysia Sdn. Bhd., Ivan Kong.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 412