PELAJAR USM RANGKUL TEMPAT KEDUA DALAM PERTANDINGAN NYANYIAN PERINGKAT AKHIR “VOICES OF VICTORY” DI SINGAPURA
SINGAPURA, 20 Januari 2024 - Republic Polytechnic Singapore dengan kerjasama iGet Entertainment (Singapore) baru-baru ini telah mengadakan sebuah pertandingan nyanyian peringkat antarabangsa di Woodlands, Singapura.
iGet Entertainment merupakan sebuah agensi hiburan berpusat di Singapura, Malaysia, Korea dan China yang sentiasa mencari bakat-bakat baru untuk dipromosikan dan dipasarkan di peringkat Asia.
Syarikat ini juga telah menawarkan 20 kontrak kepada beberapa peserta yang berpotensi untuk digilap ke peringkat antarabangsa seperti di Korea, Indonesia dan China. Pertandingan ini telah disertai beberapa ratus orang yang rata-ratanya berasal dari Singapura, China dan Malaysia dan telah melalui fasa pemilihan, peringkat separuh akhir dan hanya 10 orang yang layak ke peringkat akhir.
Lagu Inggeris Balada bertajuk “Dancing On My Own” telah berjaya membawa Saudara Mohd Hazrezan Musli, pelajar tahun 3 dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (Biosumber) yang juga merupakan Talent Bank dari Sekretariat Protege Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dewan Budaya USM telah merangkul gelaran naib juara dalam pertandingan peringkat akhir tersebut.
Turut hadir semasa pertandingan berlangsung ialah Andy Siti Nurhidayah Rahim, pegawai pengiring merangkap Pegawai Kebudayaan Kanan, Dewan Budaya USM.
Beliau yang satu-satunya peserta dari Malaysia telah membawa pulang trofi, wang tunai serta sijil penghargaan. Hazrezan Musli, pelajar berasal dari Sabah ini telah mencuri hati para penonton dan para juri dengan persembahan nyanyian yang sangat baik sekaligus menewaskan 8 peserta lain dari China dan Singapura.
Antara juri profesional pada pertandingan malam tersebut adalah Alan Chen (CEO iGet Entertainment), Profesor Ken Chang, Josephine Sik, Kim Ji Ah, Delvina See, Yanni Ruth Chin and Zhu Xiao Ming yang ratanya adalah pemuzik profesional dan penggiat industri muzik di Singapura, Korea dan China. Turut sama menyaksikan detik bersejarah itu adalah Puan Mariam Jaafar, Ahli Parlimen Woodlands Singapura.
Teks dan Foto : Andy Siti Nurhidayah Rahim, Pegawai Kebudayaan Kanan Dewan Budaya
- Created on .
- Hits: 490