USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR PENANG FUTSAL OPEN; CUNGKIL BAKAT DAN PUPUK GAYA HIDUP SIHAT

USM PULAU PINANG, 22 Januari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) dengan kerjasama Perkumpulan Anak-anak Negeri Melaka (PURNAMA), Pusat Sukan dan Rekreasi USM bersama Pusat Sejahtera USM baru-baru ini telah menganjurkan pertandingan Penang Futsal Open 2024, iaitu sebuah program yang berinisiatif untuk pelajar dan masyarakat memupuk amalan gaya hidup sihat dengan bersukan.

7991caa4 8bce 4f4d b775 9c42a51b58df

Program tersebut juga diadakan dengan tujuan untuk mencungkil bakat pelajar mahupun masyarakat dalam arena sukan futsal di samping melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial.

Berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim USM, perasmian penutup program yang berlangsung selama dua hari itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM.

Hairul Anuar dalam ucapannya berkata, penganjuran program sebegini memberi para peserta peluang dalam mengenali dengan lebih dalam tentang sukan futsal yang sekali gus dapat mencungkil bakat masing-masing dalam acara ini.

“Anjuran program sukan futsal ini juga merupakan salah satu cara yang baik dalam memberikan ruang, bukan sahaja kepada mahasiswa tetapi juga kepada masyarakat luar untuk lebih mempraktikkan gaya hidup yang lebih sihat dan cergas.

“Selain mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa USM dan masyarakat luar, program seumpama ini juga mampu membina hubungan baik sesama mereka. Tambahan pula, ahli Jawatankuasa program dapat memupuk sifat kepimpinan dan kerjasama sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Tambah Hairul Anuar, harapan beliau agar dengan berlangsungnya program ini dapat memberi semangat dan kesedaran kepada mahasiswa/i untuk terus bergiat aktif melibatkan diri dalam acara sukan sekaligus dapat menambah semangat kesukanan dalam diri.

Sebanyak 25 pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang mana 9 pasukan terdiri daripada pelajar USM dan 16 pasukan dari sekitar zon utara Malaysia iaitu Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Pasukan MRL FT muncul juara dan membawa pulang RM3,000 dan sebuah piala. Manakala Naib Johan ialah pasukan Sasa FC membawa pulang RM2,000. Tempat ketiga pula diraih oleh pasukan FC 5 Fussatwev FC B dan membawa pulang RM1,000.

Selain perlawanan futsal, turut disediakan sebagai pengisian program adalah pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian ‘free gift’, pengoperasian gerai makanan, gerai barangan sukan dan gerai E-Sports.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 414

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024