MADIA LAGAN – USM SELAMANYA DI HATI
PULAU PINANG, 25 Mei 2015 – “USM akan tetap selamanya di hati saya. Tak mungkin kenangan berkhidmat selama 33 tahun akan padam begitu saja,” luah Madia Lagan a/l Kuppan, 58, yang secara rasminya menamatkan perkhidmatannya sebagai pemandu di Pejabat Naib Canselor, Jabatan Canselori, hari ini.
Menjejakkan kaki pada tanggal 3 Mei 1982, Madia tidak pernah berkira kerja atau merungut, sekali pun waktu kerjanya seringkali melewati sehingga tengah malam atau bermula seawal pagi subuh.
“Saya sedar dengan kelulusan yang tidak setinggi mana, saya harus gigih berusaha demi menyara keluarga,” ujar bapa kepada sepasang cahayamata ini.
Mula bertugas di Pusat Matrikulasi, Madia ketika itu bukan hanya sekadar pemandu, malah merangkap juga penghantar surat ke jabatan-jabatan lain di dalam kampus.
“Bukan itu sahaja, saya juga diarahkan untuk menghantar brosur-brosur penerbitan dan kemasukan USM ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia dan peluang sebegitu bukan sahaja membuka ruang melihat tempat-tempat menarik di Malaysia, malah membolehkan saya mengenali ramai guru-guru sekolah dan berkongsi pelbagai ilmu dan pengalaman bersama mereka.”
Di Pusat Matrikulasi, Madia juga sering diamanahkan untuk membawa pelajar-pelajar yang adakalanya jatuh sakit ke klinik berhampiran atau hospital.
“Antara pengalaman saya berhadapan perkara ini, adalah ketika membawa seorang pelajar berulang alik ke hospital hampir setiap minggu selama setahun, kerana beliau perlu menjalani rawatan kanser darah yang dihidapinya,” ujarnya yang kini tidak lagi dapat berhubung dengan pelajar tersebut.
“Saya doakan beliau sentiasa dilindungi Tuhan, biar pun di mana dia berada sekarang.”
Sesuai dengan jawatannya sebagai pemandu, Madia juga telah membawa beberapa orang penting USM dan tetamu kenamaan Universiti dan pernah menerima surat penghargaan daripada profesor dari Jepun dan Australia.
“Tak sangka mereka menghargai kerjaya saya, tidak memandang rendah keupayaan dan ucapan terima kasih tidak pernah lekang dari bibir mereka.”
“Sepanjang berkhidmat di Pusat Matrikulasi, saya tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun sehari kerana sedar jika saya tiada, rakan sepejabat akan terbeban dengan tugas-tugas seharian,” katanya.
Selepas hampir 18 tahun berkhidmat di Pusat Matrikulasi, Madia ditukarkan ke Pejabat Naib Canselor semasa Prof. Dato’ Dr. Ishak Tambi Kechik menjadi Naib Canselor.
“Peluang bekerja di sini menjadikan saya lebih bersemangat dan berazam untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Universiti,” katanya yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) pada tahun 2006.
Merasakan diri masih mampu bekerja dan memberikan yang terbaik, Madia tidak menolak untuk terus bekerja sebagai pemandu jika mendapat peluang dari mana-mana agensi atau orang perseorangan.
“Namun buat masa sekarang, nak tumpukan perhatian kepada cucu lelaki yang semakin membesar dan banyak ragamnya,” katanya mengenai cucu sulung yang sudah berusia 7 tahun.
Katanya mengakhiri perbualan, selagi terdaya, dia masih mahu menabur bakti, tidak kira kepada sesiapa sahaja, kerana percaya ganjaran untuk orang yang berbuat baik sentiasa ada.
Teks/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 845